Jual beli minyak sawit haram susahkan hidup pekebun, peneroka Felda - Utusan Malaysia

Jual beli minyak sawit haram susahkan hidup pekebun, peneroka Felda

BEBERAPA anggota penguat kuasa merampas minyak sawit yang dibeli ketika penyamaran oleh Yayasan Pengguna Negara Malaysia di satu lokasi di Kuantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bagaikan jatuh ditim­pa tangga. Bukan sahaja ber­de­pan dengan tekanan hidup berikutan pandemik Covid-19, hampir sejuta pekebun kecil dan peneroka tanah rancangan Felda kini berhadapan dengan pendapatan tidak menentu.

Semuanya kerana ditekan dengan masalah penjualan buah tandan basah kepada pengilang pada harga yang tidak munasabah.

Mereka menjadi mangsa permainan harga di peringkat kilang berikutan pengilang mengalami kerugian jutaan ringgit kerana minyak sawit yang sepatutnya sampai ke destinasi, disekat di tengah jalan kerana berlaku aktiviti penjualan secara haram yang didakwa melibatkan campur tangan anggota penguat kuasa.

Melihat perihal itu yang sema­kin meruncing, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mengambil masa dua tahun menyiasat isu ketirisan berkenaan setelah menerima aduan daripada pekebun kecil dan peneroka yang mendakwa bayaran diterima tidak setimpal dengan jumlah hasil kelapa sawit mereka.

Presidennya, Datuk Firda­us Abdullah mendakwa, pihak­nya telah membuat laporan tentang perkara itu kepada sebuah agensi kerajaan, tetapi oleh kerana tidak diendahkan, YPNM melakukan penyiasatan sendiri kerana merasakan ada sesuatu yang terselindung dalam industri sawit negara.

“Hasil siasatan, kita mengesan wujud kegiatan jual beli minyak sawit secara haram di jalanan yang berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dan paling dahsyat di Semenanjung.

“Akibatnya, cukai yang per­lu dibayar kepada kerajaan berkurangan bukan sahaja da­lam kalangan pekebun kecil dan peneroka Felda malah, pemain-pemain industri sawit berskala besar.

“Selain itu, kerana kerugian, kilang sawit membayar cukai yang kurang, begitu juga cukai tambahan eksport yang ditetapkan oleh kerajaan jika harga minyak sawit melebihi paras RM1,200 yang perlu dibayar RM50 satu metrik tan. Ini akan merugikan negara,,” dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Firdaus berkata, pendedahan itu bukan dakwaan semata-mata sebaliknya YPNM mempunyai bukti kukuh dan melakukan kaji selidik secara praktikal dengan menyamar sebagai pembeli minyak sawit.

“Kita sediakan lori satu tan dan kita menyamar membeli minyak sawit yang dijual di jalanan. Selepas itu kita lapor kepada badan berkenaan iaitu wujud kegiatan jual beli mi­nyak sawit bukan sahaja membabitkan lori kita, malah lori-lori lain. Yang peliknya, hanya lori kita yang ditahan dan mi­nyak sawit dirampas.

“Jadi YPNM yakin 100 peratus, kegiatan ini turut mempunyai kaitan dengan anggota penguat kuasa berkenaan. Kita juga mendapati pembeli-pembeli minyak sawit ini adalah sekutu yang dijaga, di bawah naungan penguat kuasa badan berkaitan,” dakwanya.

Bagi menyiasat pendedahan berkenaan, beliau berkata, YPNM memohon kerajaan supaya menubuhkan jawatan kuasa khas yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Integriti, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Kita minta kerajaan kaji cadangan ini dan jika dilaksanakan kita mahu semua pegawai badan berkaitan disiasat bermula dari akar umbi, audit pendapatan, aset dimiliki termasuk membabitkan pemandu-pemandu lori minyak sawit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN