KUANTAN: Isu kontraktor terbeban akibat kenaikan harga bahan binaan bukan perkara baharu, sebaliknya situasi tersebut sudah lama berlaku.
Rata-rata kontraktor terpaksa menerima keadaan itu demi periuk nasi masing-masing walaupun terbeban.
Kontraktor G1, Rosalin Sanusi berkata, bagi menangani isu kenaikan harga bahan binaan, beliau menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula kadar harga yang diberikan kepada kontraktor.
Ini kerana katanya, sehingga kini kadar harga yang digunakan masih mengikut Jadual Kadar Kerja Kejuruteraan Awam dan Bangunan Tahun 2016.
“Kami berharap JKR kaji semula buku panduan ini, buat pembaharuan dan keluarkan buku panduan kadar baharu dan semasa kerana kadar ketika ini telah lebih empat tahun diguna pakai.
“Ini antara perlu dilakukan untuk membantu keseimbangan pembangunan dan keuntungan serta mengelakkan kontraktor menanggung kerugian besar bila kadar harga 2016 masih diguna pakai tanpa perubahan walaupun kenaikan harga bahan binaan melambung,” katanya kepada di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan keluhan kontraktor yang terkesan dengan kenaikan harga bahan binaan sehingga 20 peratus.
Kontraktor G5, Wan Mohd. Haizam Wan Azmi berkata, sememangnya kontraktor kini cukup terbeban ekoran kenaikan harga bahan binaan.
“Saya bersetuju seperti dinyatakan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang, Abd. Gapar Lambak supaya kerajaan melaksanakan semula kaedah variation of price (VOP) yang dimansuhkan pada 2015.
“Kaedah ini dapat membantu kontraktor untuk menampung sebahagian daripada kos kerugian akibat kenaikan harga bahan-bahan binaan,” katanya. -UTUSAN










