KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap beberapa individu mungkin akan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan penjualan hartanah Dudley International House, Melbourne kepada Mara Inc pada 2013.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, perbincangan telah dilakukan SPRM bersama pejabat timbalan pendakwa raya (DPP) bagi melihat kemungkinan pendakwaan boleh dilakukan terhadap mereka berdasarkan sedikit bukti yang diberikan oleh pihak Australia Federal Police (AFP).
Selain itu, ujar Azam, beberapa lagi keterangan akan diperoleh pihak AFP secepat mungkin hasil siasatan yang dilakukan AFP berkaitan kes itu.
“Kami sudah berbincang dengan timbalan pendakwa raya untuk melihat tuduhan yang mungkin boleh dikenakan ke atas individu tertentu dalam kes ini, berdasarkan sedikit keterangan yang kita peroleh daripada AFP.
“Jika undang-undang membenarkan kita untuk menuduh individu ini, kita akan menuduh individu individu tertentu dalam kes MARA ini berdasarkan bukti daripada AFP. Apa pun, siasatan di peringkat domestik telah lama selesai,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Liabiliti Korporat: Adakah Anda Berisiko? di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tiga kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan penjualan membabitkan tiga blok pangsapuri berkenaan.
Sejak siasatan dilakukan, sebanyak 70 saksi telah diambil keterangan. SPRM juga telah mengemukakan permohonan Mutual Legal Assistance (MLA) kepada pihak AFP sebanyak tiga kali iaitu pada 2016 dan 2017 bagi mendapatkan keterangan tujuh lagi saksi yang berada di Australia.
Siasatan penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Inc pada 2013 diserahkan sepenuhnya SPRM.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun baru-baru ini mendedahkan pihaknya sudah memberikan kerjasama sejak kes itu dibangkitkan pihak berkuasa Australia pada pertengahan 2015.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan mahkamah di Australia membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.
Dalam pada itu, Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.
Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.
Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya apabila melanjutkan pelajaran di Australia. – UTUSAN ONLINE











