Gaji kasar lebih RM5,000, dapat RM600 saja - Utusan Malaysia

Gaji kasar lebih RM5,000, dapat RM600 saja

Penoreh
JAAFAR Setu tetap menoreh getah di Felda Chuping, Padang Besar, Perlis. - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu pemotongan kos operasi oleh pihak Felda yang terlalu tinggi bukan sahaja me­ragukan golongan peneroka tanah rancangan itu, malah, cukup membebankan mereka.
Peneroka Felda Chini 1, Abdul Ghafar Abdul Hamid, 67, berkata, dia bukan sahaja marah, malah berasa kecewa nasib pe­neroka diperlakukan sedemikian.
Jelasnya, adalah meragukan jumlah potongan dibuat terlalu tinggi dan timbul persoalan dalam diri peneroka adakah duit mereka ‘dicuri’ atau cuba ‘dirompak’ oleh pihak Felda.
“Ini yang saya marah, bulan lepas sahaja pihak Felda potong lebih RM4,000 daripada gaji kasar saya kira-kira RM5,700.
“Saya hanya dapat gaji RM600 sahaja. Cuba bayangkan duit peneroka diambil begitu saja tanpa dinyatakan secara terperinci pemotongannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, akhbar ini me­laporkan keresahan peneroka yang mana gaji dipotong setiap bulan tanpa ada butiran terperinci walaupun penyata dikeluarkan dan diserahkan kepada pekerja.
Di tambah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hidup mereka kini ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan menyedihkan, ada pe­neroka menerima bayaran bersih hanya RM50 sahaja.
Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata, belum selesai isu pemotongan yang terlalu tinggi, kini peneroka yang bersama Felda Teknoplant Sdn. Bhd. dibelenggu pula dengan masalah gaji bulan September yang sehingga kini belum dibayar.
“Apalah nasib kami, sudahlah pemotongan kos operasi yang tidak tahu hujung pangkalnya terlalu tinggi, gaji bulan ini pun belum dibayar,” katanya.
Generasi Kedua Felda Lepar Hilir 3, Adam Abdullah, 32, berkata, dia berharap pihak Felda mengeluarkan penyata hutang kepada setiap peneroka.
“Penyata hutang ini sudah terlalu lama, sampai enam tahun tidak terima pun ada. Kini peneroka Felda dibelenggu pula dengan masalah kelewatan bayaran gaji bulan September,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN