KOTA KINABALU: Rasa kecil hati dengan ketua menteri sebelum ini, Tan Sri Musa Aman kerana berbelas tahun dipinggirkan menyebabkan Datuk Armani Mahiruddin memilih menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), sebelum diletakkan sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.
Meluahkan perasaannya kepada Utusan Malaysia, adik kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu berkata, beliau bukan asing dalam UMNO khususnya di Libaran dengan mula berjinak dengan parti itu sejak tahun 1990 lagi semasa USNO membawa masuk UMNO ke Sabah.
Tetapi katanya, di bawah pentadbiran Musa yang menyandang kerusi Sungai Sibuga sejak 1994 dan mengetuai UMNO Bahagian Libaran, beliau sering kali diketepikan walaupun jawatan-jawatan yang disandangnya bukan calang-calang.
“Saya pernah mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara (pada 9 Julai 2009 hingga 21 Disember 2011).
“Juga adalah Ketua Wanita UMNO Sabah yang dilantik Senator tempoh dua penggal (20 Disember 2005 – 19 Disember 2008) dan 21 Disember 2008 hingga tarikh dilantik menjadi timbalan speaker Dewan.
“Di Libaran sahaja, saya adalah ketua Wanita UMNO bahagian dan di peringkat Pusat, saya Exco Wanita semasa era Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Tetapi kenapa saya diketepikan selama 15 tahun oleh Tan Sri Musa sedangkan Parti Warisan Sabah ini baru tertubuh dua tahun tetapi ‘nampak’ saya. Abang saya TYT pun tak campur tangan urusan pencalonan ini, saya ada kekuatan saya sendiri.
“Syukur, rezeki Allah tidak pernah salah alamat,” kata Armani ketika dihubungi semalam.
Armani yang juga bekas guru berkata, pengalamannya sebagai Ketua Wanita UMNO di Sungai Sibuga selama 22 tahun banyak mendedahkan dirinya kepada penduduk setempat bukan sahaja di Sungai Sibuga, bahkan Sungai Manila dan Gum-Gum.
“Masih banyak isu pembangunan di sini antaranya di Kampung Tinusa dan Batu 17 yang mana jalannya masih berlubang-lubang.
“Pemilihan sebagai calon suatu penghormatan buat golongan wanita. Oleh itu, kami akan menjaga kebajikan wanita bukan sahaja di kawasan ditandingi, malah seluruh negeri,” katanya.
Dalam pertandingan lima penjuru di Sungai Sibuga 26 September ini, Armani berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hamsan Awang Supain.
Beliau juga ditentang Irwanshah Mustapa dari Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd. Jain Aliuddin dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Kemellia Hasan dari Parti Liberal Demokratik (LDP). – UTUSAN ONLINE










