“Aku tak reti main judi. Yang aku tahu, aku sedang memperjudikan hidup aku. Hidup ini kan ibarat satu perjudian” kata seorang rakan sekerja.
Tercengang kejap saya mendengarnya. Lain yang saya tanya. Lain pula dia jawab. Sebenarnya saya menanyakan, sama ada dia juga menerima banyak mesej mengajak berjudi dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp.
Kerap sangat saya dapat mesej sebegitu sejak kebelakangan ini. Tak cukup dengan SMS dan WhatsApp, aplikasi Telegram pun ada dengan nombor pengirim berlainan. Soalnya, macam mana boleh dapat nombor telefon bimbit saya?
Ramai juga mengadu, mereka kerap menerima panggilan telefon yang menawarkan pakej percutian, pakej kecantikan, bercerita tentang hadiah-hadiah menarik, menjual insurans dan macam-macam lagi. Soalannya sekali lagi, mana dapat nombor telefon mereka ini?
Saya percaya privasi menjadi keutamaan semua orang. Siapa yang suka diganggu oleh panggilan menjual itu dan ini, lebih-lebih lagi ketika sedang sibuk bekerja. Memang kita ada pilihan, sama ada layan atau jangan jawab. Tetapi kalau tak jawab, bimbang panggilan itu penting pula.
Sudah beberapa bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan sehingga sekarang kita diwajibkan menulis nombor telefon untuk memasuki mana-mana premis perniagaan. Tidak kiralah tulis di buku atau menggunakan aplikasi.
Dan sedar atau tidak selepas itu, kebanyakan kita menerima banyak mesej dan panggilan telefon entah daripada siapa-siapa.Tentu ada yang tidak kena bukan?
Betul. Apa susah sangat, takut nombor telefon disalah guna, tipu sajalah. Letak nombor palsu. Buat apa nak bising-bising.
Tetapi perlu diingat, tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab. Sekiranya ada pengunjung di tempat itu positif Covid-19 dan anda yang menipu nombor telefon tidak dapat dihubungi, anda akan sangat menyusahkan orang lain pula.
Jika terkena Covid, anda menyebarkan virus itu pada orang sekeliling. Lebih-lebih lagi ketika ini, kita sudah ada macam-macam kluster Covid-19. Yang terbaharu kluster Sivagangga yang merebak dengan pantas seperti kluster Super Spreader yang berlaku di Mesir dan Pakistan.
Diharapkan tiada pihak mengambil kesempatan dalam penularan pandemik Covid-19 ini untuk mengaut keuntungan. Menjalankan urusan jual beli data pelanggan pula. Tetapi apalah ada dengan berharap, harapan selalu tinggal harapan. Berharap sahaja tidak cukup.
Sebelum ini pun, kita selalu mendengar ada pihak yang menjual maklumat sebegini walaupun sudah dinafikan oleh syarikat-syarikat telco. Nombor telefon, alamat e-mel termasuk nombor kad pengenalan adalah sesuatu yang sulit, tidak boleh dikongsi sesuka hati.
Justeru, pihak berkuasa perlu pantau dan bertindak. Dan orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan membuat aduan. Selalunya tindakan akan dibuat jika ada aduan. Kalau kita bising-bising, tulis panjang-panjang dalam akaun laman sosial sendiri, tetapi tidak membuat aduan rasmi, tidak guna juga. Ia tidak memberi kesan kepada pihak yang membuat kerja ini.
Harus dipastikan maklumat-maklumat yang dicatat pengunjung atau pelanggan disimpan oleh pihak pengurusan premis itu, bukan diletakkan di mana-mana saja atau disimpan oleh pengawal keselamatan. Jangan pandang ringan aspek penyimpanan buku rekod kemasukan pengunjung. Maklumat pelanggan tidak boleh didedahkan.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan reman empat hari, tujuh individu bagi membantu siasatan memanupulasi maklumat peribadi pengguna telefon bimbit dengan mengaut keuntungan berjuta ringgit sejak lima tahun lalu.
Mereka dikatakan menawarkan promosi atau perkhidmatan tertentu melalui SMS tanpa persetujuan pelanggan dengan caj bayaran 50 sen hingga RM4 bagi setiap mesej yang dihantar.
Itu sindiket yang berjaya dikesan. Kita tidak tahu berapa banyak lagi pihak yang menjalankan urus niaga ini. Menjual data pelanggan adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Lebih buruk, jika ia dilakukan untuk tujuan penipuan atau scammer.
Bolehkah selesai hanya cakap perbuatan ini sesuatu yang tidak baik dan beri peringatan? Bertindaklah. Perbaiki sistem penyimpanan data pelanggan. Pastikan data ini dilindungi sepenuhnya bukan dijual di pasaran gelap. – Mingguan Malaysia










