TIDAK menafikan dia sunyi tanpa kehadiran seorang kekasih. Akui penyanyi dan pelakon Nabila Razali, di usia 28 tahun kini dia sebenarnya sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Namun, dia yakin aturan Allah SWT itu cukup indah buat diri. Malah tidak ada sekelumit rasa sedih melihat rakan-rakan lain diulit bahagia cinta.
“Tipulah kalau saya kata tidak rasa sunyi, bila balik kerja dapat rasa perasaan itu sebab waktu itu kita perlukan seseorang untuk berbicara.
“Tetapi bila fikir secara positif, jika saya ada kekasih sekarang ini mungkin tidak mampu memberi perhatian secukupnya,
“Memandangkan komitmen terhadap kerja membuatkan waktu saya begitu terhad,” katanya kepada Pancaindera.
Tidak mahu berselindung, kongsi Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, ketika ini dia juga tidak sekadar berserah. Turut memulakan langkah mengenali beberapa rakan lelaki, jelasnya, siapa tahu ada di antara mereka itu kelak jodoh buat dirinya.
“Saya akui, apa yang menjadi masalah adalah sikap saya sendiri yang sukar nak mempercayai lelaki. Dengan pelbagai kisah realiti yang dikongsi ramai wanita di luar sana, memang membuatkan saya sedikit gusar.
“Sebab itu, saya ambil masa untuk mengenali seseorang dengan lebih mendalam sebelum buat apa-apa keputusan. Buat masa sekarang memang ada berkawan tetapi tidak ada yang pasti lagi,” katanya.
Melihat perkahwinan sebagai satu lagi misi buat dirinya, sama seperti wanita lain, Nabila juga memasang angan-angan untuk mencapainya suatu hari nanti.
“Dahulu memang saya merancang berkahwin sebelum usia 25 tahun, tetapi bila sudah melepasi umur itu saya tidak mahu lagi merancang apa-apa.
“Cukup sekadar yakin dengan ketentuan jodoh ketika ini dan apa yang paling penting menikmati bahagia yang ada kini,” katanya ringkas.
Melihat trend ada wanita yang memilih suami orang sebagai pasangan hidup, memandangkan golongan ini digambarkan lebih memahami, Pancaindera cuba menduga Nabila melalui ciri-ciri lelaki pilihannya.
Jelas Nabila secara jujurnya soal status pasangan hidupnya suatu hari nanti bukan sesuatu yang boleh dikawal. Malah secara realistik, penyanyi lagu Pematah Hati ini memberitahu, siapa juga jodohnya suatu hari nanti akan diterima dengan hati terbuka.
“Tidak banyak yang saya minta, cukup yang baik hati budinya. Soal status pula, kita perlu tahu itu bukan kerja kita untuk tentukan. Jika sudah tertulis itu jodohnya, kena terima walaupun tidak mahu.
“Apa yang penting dalam setiap hubungan, bagaimana kita menghargai dan menjaganya,” jelasnya.
Sibuk berlakon
Memulakan kerjaya seni sejak lapan tahun lalu sebagai peserta nyanyian sebuah rancangan realiti, siapa sangka namanya kini terus menjadi antara artis paling berpengaruh dalam kalangan peminat. Memiliki pengikut 2.1 juta di Instagram, tidak dinafikan Nabila terus selesa mendakap kejayaan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh sekarang kerjaya nyanyian dan lakonan seiring. Malah lebih menggembirakan lagu baharu saya, Peluang Kedua turut mendapat tempat peminat. Cuma dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) persembahan untuk nyanyian itu agak kurang.
“Tetapi saya cukup bernasib baik bila peluang berlakon pula datang dalam tempoh ini. Jadi, sedikit sebanyak rezeki itu ada,”katanya.
Mengakui sekarang sibuk dengan dunia lakonan, ada yang melihat ini mungkin pelan jangka panjang untuk dirinya. Sekiranya suatu hari nanti, ada niat untuk Nabila meninggalkan terus dunia nyanyian.
“Benar soal kecaman buat saya sedih, tetapi untuk menyebabkan saya putus asa dalam dunia nyanyia, ia tidak akan berlaku sebab nyanyian akan terus menjadi pilihan pertama saya.
“Ketika ini saya baru habis dengan drama bersiri Baju Kebaya Kasut Kanvas. Jujurnya, lakonan adalah bidang baharu buat saya dan saya akan terus mencuba memberi yang terbaik,”katanya.
Magnet gimik?
Baru sahaja muncul dengan lagu baharu berjudul Peluang Kedua, ketika ini bukan sesuatu yang mengejutkan untuk Nabila jika dia terus menjadi sasaran pihak yang tidak menghargai bakatnya.
Malah kejadian ‘terkucil’ ketika menyanyikan lagu ini pada sebuah program TV seperti menguatkan lagi pendapat, yang dirinya tidak sepatutnya mendapat tempat dalam industri.
“Saya tahu ada meragui bakat nyanyian saya, malah bila muncul dengan lagu Peluang Kedua ini ada yang kata lagu ini terlalu besar untuk saya.
“Tetapi apa yang mereka tidak tahu sehingga kini setiap lagu saya terus memberikan impak tersendiri kepada peminat. Lebih penting pencipta lagu ini, Hael berpuas hati dengan penyampaian saya.
“Jujurnya, saya tidak mampu mengubah pandangan semua orang untuk menyukai saya, cuma harapan suatu hari nanti mereka terbuka menerima bakat saya,” jelasnya.
Digelar ratu gimik gara-gara keberaniannya melakukan promosi lagu terdahulunya, sehingga kini gelaran itu seakan tidak hilang buat Nabila. Malah apa sahaja kejadian yang melibatkan penyanyi ini dianggap sebagai satu lagi gimik untuk melariskan produk miliknya.
“Apa yang berlaku tempoh hari bukan gimik, memang tidak dinafikan ada kesilapan menyebabkan saya gagal menyampaikan lagu itu dengan baik. Bukan niat untuk tular seperti itu.
“Malah selepas kejadian itu, saya lebih berhati-hati, sebagai manusia saya sentiasa belajar daripada kesilapan,” tambahnya. – Mingguan Malaysia










