MUKADIMAH:
MENYUSURI perjalanan dakwah yang dilakukan oleh figura bernama Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew ini pastinya menerbitkan rasa hormat dan kagum. Beliau bukan sahaja dilabelkan sebagai ‘hero rakyat’, malah setiap hasil usahanya sering mendapat perhatian ramai susulan keprihatinannya membantu golongan kurang berkemampuan.
Walaupun ada yang kurang senang dengan pendekatan yang beliau lakukan, namun insan ini tidak pernah berputus asa atau berkecil hati. Sebaliknya lebih berazam untuk terus menjalankan aktiviti kebajikannya bagi memastikan nasib golongan kurang bernasib baik ini terbela.
Walaupun sentiasa dihambat kesibukan pelbagai urusan, namun beliau masih sempat meluangkan masa berkongsi cerita sukanya duka bersama Mingguan Malaysia.
Ikuti wawancara eksklusif pendakwah bebas ini bersama wartawan Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan jurugambar Amir Khalid semasa pembukaan pasar raya ketiganya, Elewsmart di Dataran Villa Putra, Sungai Buloh, Sabtu lalu.
MINGGUAN: Ustaz berada di mana-mana. Bila ada berita orang dalam kesusahan, ustaz yang sampai dahulu. Apa membuat ustaz selalu menjadi orang pertama membantu mereka?
EBIT: Alhamdulillah, sebenarnya tidak. Ramai juga orang lain membantu. Saya hanya sebahagian kecil daripada usaha-usaha mereka itu. Maknanya, itu tanggapan yang mungkin salah kalau saya seorang sahaja yang sampai. Mungkin mereka melihat saya di media dan sebagainya. bagaimanapun saya bersyukur kepada Allah SWT, kerana selain saya, ramai lagi orang lain yang turut membantu termasuk pemimpin-pemimpin dan ketua masyarakat.
Ada beranggapan tindakan ustaz ini umpama menyindir pihak yang sepatutnya prihatin dan beri bantuan. Apa komen ustaz?
Bukan begitu. Sebenarnya kita sama-sama sebagai sebuah keluarga. Cuba lihat sewaktu awal-awal negara dilanda Covid -19 tempoh hari, ramai pemimpin, anggota masyarakat, NGO dan badan-badan kerajaan bertungkus lumus bekerjasama menjalankan tugas. Kita sekadar menumpang kebaikan mereka yang tidak terhingga nilainya. Semua itu memotivasikan saya. Bila saya lihat jururawat, saya lihat doktor, saya lihat pemimpin-pemimpin lain, menjadikan saya bersemangat untuk membantu mereka, walaupun apa yang saya buat ini terlalu sikit berbanding apa yang mereka lakukan.
Ustaz dilihat begitu mudah mengalirkan air mata. Ada pihak menegur, lelaki sepatutnya mahal dengan air mata. Mengapa begitu?
Di zaman Nabi Muhammad SAW, ramai orang baik menangis kerana cinta dan takwa mereka kepada Allah SWT. Jadi kita ini belum lagi baik sebenarnya. Oleh itu, bila hendak belajar jadi baik, kita selalulah menangis kepada Allah SWT kerana tangisan itu menunjukkan kita sebagai hamba yang sering menginsafi atas setiap dosa-dosa dan khilaf yang kita lakukan. Kita tiada daya upaya melainkan dengan pertolongannya.
Ada pihak kurang senang dengan tindakan ustaz menghebohkan setiap bantuan dan pertolongan dalam media sosial. Tindakan ini dianggap seolah-olah menunjuk dan riak. Apa pandangan ustaz?
Saya bukan mengharapkan publisiti. Saya lakukan kerana Allah SWT. Jika ada pun saya hanya muatkan dalam akaun media sosial peribadi. Tiada niat untuk menunjuk. Sekurang-kurangnya selepas saya, mungkin ramai lagi yang akan tampil membantu.
Saya sebenarnya segan dengan media, namun saya berterima kasih kepada semua rakan media yang banyak membantu, termasuk individu-individu lain.
Pernah tak ustaz berasa sedih, kecewa atau putus asa apabila ada pihak memperlekeh usaha-usaha ustaz membantu orang ramai?
Sedih memang sifat manusia. Tapi tujuan hidup kita untuk mendapatkan reda Allah SWT. Manusia memang suka dipuji. Bila dipuji, kita mungkin ada rasa bangga dan riakkan? Tapi cuba bila kita dihina pasti timbul rasa sedih. Namun sebagai manusia bila kita dipuji, kita ucapkan syukur alhamdulillah. Sebaliknya jika kita dikeji ambillah sebagai satu hikmah dan pengajaran. Yang penting Allah SWT tahu apa yang kita lakukan.
Apa komen ustaz bila jutaan peminat mengelar ustaz ‘hero’?
Alhamdulillah syukur. Apa yang orang puji, saya cuma aminkan. Dalam waktu sama, saya berdoa – Ya Allah, jadikan saya lebih baik daripada apa yang mereka kata. dan maafkan saya daripada apa yang mereka tidak tahu tentang saya.
Manusia ni nampak baik sebab Allah SWT sentiasa tutup aib dia. Kita boleh jadi terkenal, jadi masyhur atas kehendak Allah SWT. Tapi jika Allah SWT nak buka aib kita sikit itu bukan satu hinaan. Itu untuk menyedarkan kita. Yang paling hina dan menakutkan ialah, bila Allah SWT murka kepada kita atas setiap kesalahan kita.
Adakah ustaz selesa dengan kerjaya sebagai pendakwah bebas dan ahli perniagaan sekarang ini?
Saya sebenarnya bercita-cita nak jadi doktor tapi tak berapa pandai, jadi saya tak jadi doktor. Bila tiada pekerjaan, saya mohon kerja sebagai polis pun tak dapat, cikgu pun saya mohon, pergi temuduga banyak kali, tapi tiada rezeki saya di situ. Saya sedih juga. Rupanya alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menyumbang kepada masyarakat.
Ustaz juga menceburi bidang perniagaan. Boleh cerita tentang itu?
Asalnya saya buat team building (pengukuhan pasukan), pusat latihan, kem motivasi, itu yang nombor satu. Sebelum itu saya lihat hanya orang putih di luar negara yang buat. Jadi, saya ambil konsep itu dan bawa ke Malaysia dengan menyelitkan unsur ketimuran. Sebelum ini juga saya sudah menjalankan perniagaan restoran dan butik perniagaan.
Dengan slogan ‘Saudaraku, murah’, pasar raya ustaz banyak menawarkan harga murah yang ‘tidak masuk akal’. Apa motif Ustaz dalam berniaga? Tidak mahu untungkah?
Memang ada barang tertentu yang kita jual murah dan anggap sebagai hadiah untuk pelanggan. Saya memang suka beri hadiah kepada orang, jadi ada satu bahagian untuk mereka di situ. Maksudnya kita gembirakan mereka yang datang itu. Kita rai dan alukan kedatangan mereka.
Adakah ustaz merancang untuk membuka lebih banyak lagi cawangan pasar raya selepas ini? Mungkin di seluruh Malaysia?
Insya-Allah, impian saya memang lebih dari itu. Yang membuatkan saya cukup bersemangat apabila orang lain dapat manfaat melalui peluang pekerjaan yang disediakan.
Contohnya, bila pasar raya ini dilancarkan dua hari, hampir 17,000 orang yang datang memohon pekerjaan. Itu yang membuatkan saya lebih semangat untuk buka lebih banyak lagi di samping dapat membantu mereka.










