Putar lagu P. Ramlee pujuk serah diri - Utusan Malaysia

Putar lagu P. Ramlee pujuk serah diri

ZAKARIA HASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: ‘Allah, anak saudara aku’. Kata-kata itu tidak pernah luput dalam ingatan bekas Ketua Kampung Ngor, Sauk, Zakaria Hasim (gambar) meskipun selepas 20 tahun peristiwa kumpulan bersenjata, Al-Maunah yang merancang mengguling kerajaan dalam tragedi Bukit Jenalik di sini berlalu.

Zakaria, 67, mengucapkan kata-kata itu sebaik sahaja diberitahu ketua kumpulan Al-Maunah yang bersembunyi di Bukit Jenalik adalah anak saudaranya sendiri, Mohd. Amin Mohd. Razali.

Bercerita lanjut, Zakaria, yang ketika itu adalah Ketua Kampung Ngor bersebelahan Kampung Jenalik mendapat tahu mengenai penglibatan Mohd. Amin selepas dia dipanggil oleh pasukan keselamatan dalam satu taklimat di Balai Polis Kati dekat sini.

“Saya merupakan antara beberapa ketua kampung di sekitar Sauk yang dipanggil mendengar taklimat keselamatan mengenai satu kumpulan bersenjata yang bersembunyi di Bukit Jenalik.

“Dalam taklimat itu, kami diberitahu terdapat satu kumpulan yang telah merampas senjata dari sebuah kem tentera sedang bersembunyi di Bukit Jenalik yang diketuai orang tempatan.

“Saya bertanya siapakah orang tempatan yang dimaksudkan. Sebaik sahaja disebut nama Mohd. Amin, saya amat terkejut dan berkata, ‘Allah, anak saudara aku’.

“Saya langsung tidak me­nyangka dia terlibat kerana mengenali perwatakkannya, dia seorang yang lembut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Zakaria turut menzahirkan kekaguman terhadap anggota pasukan keselamatan yang berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan dengan menggunakan pendekatan psi­kologi.

Menurutnya, dia masih ingat bagaimana alunan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti dendangan Tan Sri P. Ramlee menggunakan pembesar suara untuk memujuk ahli-ahli kumpulan Al-Maunah yang bersembunyi di Bukit Jenalik supaya mereka menyerah diri.

“Lagu itu diputarkan pada pukul 12 tengah malam ketika suasana amat sunyi, sambil ibu Mohd. Amin turut merayu supaya anaknya itu menyerah diri.

“Apabila mendengar lagu P. Ramlee itu, kita yang tiada kena mengena pun rasa sayu apatah lagi jika dirayu oleh emak sendiri.

“Orang Melayu walau macam mana ganas sekalipun, mudah lembut dan terusik hati dalam keadaan seperti itu,” katanya.

Selepas 20 tahun, Zakaria merasakan ramai yang sudah melupakan peristiwa itu apatah lagi orang tempatan yang tidak lagi ambil kisah mengenainya, terutama generasi muda.

Kata Zakaria, mungkin bagi orang luar masih mengingati tragedi itu, malah nama pekan kecil Sauk dan Kampung Jenalik terkenal disebabkan peristiwa itu.

“Dua nama itu, Sauk dan Jenalik saling berkait dalam tragedi kumpulan Al-Maunah. Jika orang tahu kami dari kedua-dua tempat ini, secara langsung mereka akan ingat tragedi Bukit Jenalik sebagai satu sejarah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN