Bukan seorang semua ibu dikurniakan perjalanan hidup yang mudah. Ada yang diuji dengan kemiskinan, kehilangan dan kegagalan dalam rumah tangga. Walaupun hati terluka, seorang ibu tetap memilih untuk bangkit demi anak-anak.
Bukan kerana diri tidak pernah lemah, tetapi kerana di hadapannya ada anak-anak yang menjadi sebab untuk terus kuat. Minggu ini saya kongsikan kisah Suhaila, (bukan nama sebenar) yang menyaksikan kehidupan ibunya yang penuh dengan ujian.
Menurut Suhaila, dia berkongsi kisah bukan untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya sebagai pengajaran. Sejak kecil kata Suhaila, dia mengagumi ibunya, Marina, (bukan nama sebenar) yang memiliki hati yang kuat dan tabah.
Setelah melalui dua kegagalan dalam rumah tangga, ibu tidak pernah mengalah. Sebaliknya ibu bangkit demi anak-anak. Menurut Suhaila, dia kagum dengan semangat ibu.
Daripada hasil jualan kuih-muih, itulah ibu membayar sewa rumah, membayar bil utiliti, menyekolahkan mereka tiga beradik. Walaupun hasilnya tidak seberapa, ibu dapat menguruskan perbelanjaan dengan penuh berhemah sehingga mereka tiga beradik tidak pernah berasa terbiar.
Sambung Suhaila, keputusannya untuk bekerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia lima tahun lalu dibuat kerana mahu meringankan beban ibu.
“Walaupun ibu tidak bersetuju dengan keputusan itu, akhirnya ibu akur. Tujuan saya bekerja untuk membantu meringankan beban ibu,” ujarnya dalam pertemuan diatur baru-baru ini.
Menceritakan kisah bapanya, kata Suhaila, berdasarkan kepada apa yang dicerita ibu kepadanya, ketika mengenali bapa, ibu tidak pernah mengetahui lelaki itu terlibat dengan penagihan dadah.
Bapanya, Rizuan, (bukan nama sebenar) seorang yang pandai menyembunyikan setiap kegiatan. Di hadapan keluarga, bapa kelihatan bersopan, rajin dan bertanggungjawab.
Namun tiada siapa menyangka, di sebalik perwatakan itu, bapa sedang bergelut dengan ketagihan dadah. Selepas mereka berkahwin , barulah sedikit demi sedikit, kebenaran terbongkar.
Bapa sering pulang lewat malam dengan alasan bekerja lebih masa. Wang gaji yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan rumah tangga tidak pernah cukup.
“Ketika itu ibu menyangka, perubahan sikap bapa disebabkan tekanan di tempat kerja. Namun apabila mengetahui perkara sebenar, hati ibu benar-benar kecewa.
“Walaupun kecewa ibu tidak pernah berputus asa dan terus memujuk bapa mendapatkan rawatan. Setiap kali bapa berjanji untuk berubah, ibu percaya. Tetapi setiap kali berjanji itulah bapa mungkir janji,” luahnya.
Perkahwinan mereka hanya bertahan 12 tahun. Apabila segala usaha tidak membuahkan hasil, ibu mengambil keputusan untuk bercerai.
Keputusan itu dibuat ibu kerana mahu menyelamatkan dia dan adiknya, Aina, (bukan nama sebenar) daripada terus membesar dalam suasana ketakutan, dan tidak selamat.
Menurutnya, selepas perceraian itu, mahkamah memberi hak penjagaan kepada ibu. Tanpa ragu-ragu dia dan Aina memilih untuk tinggal bersama ibu.
Menyambung cerita kata Suhaila, walaupun hidup serba kekurangan, ibu tidak pernah membiarkan mereka kelaparan, tercicir dalam pelajaran atau kekurangan kasih sayang. Di saat bapa tenggelam dalam ketagihan, ibu menjadi tempat mereka berlindung, mengadu dan sumber kekuatan.
Selepas beberapa tahun membesarkan mereka dua beradik sebagai ibu tunggal, ibu akhirnya membuka hati untuk menerima lamaran seorang lelaki.
“Saya dan adik merestui pilihan ibu. Kami berharap akan ada lelaki yang sanggup berkongsi beban ditanggung ibu selama ini. Kami mahukan ibu bahagia dan mempunyai teman hidup yang dapat melindungi dan membahagiakannya,’’ ujarnya.
Namun kata Suhaila, harapan tidak menjadi kenyataan. Pada awal perkahwinan, semua baik-baik sahaja. Suami baharu ibu, Munir, (bukan nama sebenar) seorang yang pandai mengambil hati dan berjanji untuk menjaga mereka seperti anak sendiri.
Lebih-lebih lagi selepas ibu melahirkan bayi lelaki yang menjadi pelengkap keluarga kecil kami. Menurut Suhaila, dia dan Aina amat menyayangi adik lelaki mereka, Danish, (bukan nama sebenar)).
Namun kebahagiaan itu hanya sementara. Ibu sekali lagi melalui episod duka dalam rumah tangganya. Sikap sebenar bapa tiri mereka, mula terserlah.
Bapa tiri seorang panas baran, mudah naik angin walaupun hanya perkara kecil. Suasana rumah kembali berubah.
Ibu pula memilih untuk berdiam diri. Semakin ibu berdiam diri dan bersabar, semakin ibu diperlakukan dengan kasar.
“Sebagai anak, hati saya benar-benar hancur dan kecewa. Saya pernah bertanya kepada ibu kenapa dia masih bertahan, sedangkan bapa tiri tidak melayan ibu dengan baik.
“Namun ibu hanya berdiam diri.Tiada jawaban mahupun penjelasan,’’ imbasnya.
Akhirnya, selepas tujuh mempertahankan rumah tangga, ibu memilih untuk berpisah. Bukan kerana lemah, tetapi untuk mempertahankan maruah, menjaga keselamatan diri dan anak-anak serta mencari ketenangan yang telah lama hilang.
Masa berlalu. Hari bertukar minggu, minggu memasuki bulan dan melangkah ke bulan seterusnya tahun. Pada pertengahan Mei 2024, ibu bertemu dengan Hanif, (bukan nama sebenar) seorang lelaki bujang yang berusia 10 tahun lebih muda daripadanya.
Pada awalnya kata Suhaila, ibu ragu-ragu menerima kerana perbezaan usia. Namun lelaki itu bukan melihat ibu pada usia, status atau masa silamnya, sebaliknya melihat seorang wanita yang tabah.
“Sebagai anak-anak, kami juga mengambil masa untuk mengenalinya. Selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan lelaki itu, akhirnya dengan restu kami anak-anak dan keluarga, akhirnya mereka disatukan sebagai suami isteri pada November 2024,” ujarnya.
Menurut Suhaila, ibu berhak diberi peluang untuk bahagia dan memulakan hidup baharu.
Kini usia perkahwinan mereka hampir memasuki tahun yang kedua.
“Saya sentiasa berdoa, agar setiap pengorbanan ibu dibalas dengan kebahagiaan yang berkekalan. Walaupun ibu sudah berkahwin, kasih seorang anak tidak pernah berakhir. Saya berjanji untuk terus berbakti kepada ibu yang banyak berkorban untuk kami adik- beradik,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini termasuk setiap anak mempunyai tanggungjawab untuk menghargai dan berbakti kepada ibu bapa, khususnya ibu.
Ibulah yang mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak dengan penuh pengorbanan dan kasih sayang. Kasih sayang dan bakti kepada ibu tidak pernah terhenti walaupun ibu telah berkahwin semula.
Sesungguhnya, dalam Islam setiap anak dituntut untuk berbuat baik kepada kedua orang tua, khususnya ibu. Sebagaimana firman Allah SWT, “Dan kami wasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan.”- Surah Lukman ayat 14.










