Calon PM UK mahu tekanan lebih kuat terhadap Israel - Utusan Malaysia

Calon PM UK mahu tekanan lebih kuat terhadap Israel

ANDY BURNHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Calon Perdana Menteri United Kingdom (UK), Andy Burnham berkata, London perlu meningkatkan tekanan terhadap Israel berhubung tindakannya dalam konflik berdarah di Gaza, menurut temu bual yang disiarkan sebuah akhbar.

Burnham berkata, ramai berpendapat kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang bakal berundur, Keir Starmer tidak membuat keputusan yang tepat dalam menangani serangan ketenteraan Israel di Gaza.

“Saya memohon maaf me­ngenai perkara itu. Tindak balas yang diberikan terlalu kerap tidak mencukupi. Kita perlu melakukan dengan lebih baik.

“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi tindakan untuk meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Israel.

“Ya, kita telah mengambil beberapa langkah penting tetapi secara jujur, UK terlalu lambat menggesa gencatan senjata. Kini kita perlu memperkukuh lagi pendekatan kita,” kata­nya seperti dipetik akhbar The Guardian.

Bekas Datuk Bandar Manchester itu disebut-sebut sebagai pengganti Starmer, yang mengumumkan peletakan jawatan pada 22 Jun lalu, dengan proses pencalonan rasmi bermula pada Khamis.

Sejak Starmer mengambil alih pentadbiran pada Julai 2024, kerajaan parti Buruh mengenakan sekatan terhadap beberapa menteri Israel yang dituduh menghasut keganasan peneroka di Tebing Barat, menggantung rundingan perdagangan bebas dengan Israel dan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin.

Bagaimanapun, penyokong Palestin berpendapat tindakan itu masih belum mencukupi, manakala satu tinjauan me­nunjukkan sebahagian pengundi meninggalkan Parti Buruh untuk menyokong Parti Hijau selepas pemimpinnya menuduh Israel melakukan genosid.

Burnham berkata, sekatan tambahan perlu dipertimbangkan, termasuk meneliti langkah untuk mengharamkan perdagangan barangan dari penempatan haram Israel.

Mengulas peningkatan insiden anti-Yahudi di Britain, beliau menegaskan, tiada percanggahan antara pendekatan toleransi sifar terhadap antisemitisme dengan usaha mempertanggungjawabkan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. 

“Saya akan sentiasa mengambil pendekatan yang adil, seimbang dan mempertahankan apa yang benar,” tegasnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN