KUANTAN: Belum pun selesai masalah dikejar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan daripada hasil perlombongan bauksit pada 2014, hidup para peneroka di Bukit Goh di sini bertambah susah.
Terbaharu, mereka hilang punca pendapatan sehingga ada yang terpaksa menumpang simpati anak-anak untuk meneruskan kehidupan.
Mereka kini tidak boleh lagi bergantung kepada hasil kelapa sawit kerana semua pokok habis ditebang untuk memberi laluan kepada perlombongan bauksit dan kegiatan itu pula dihentikan empat tahun lalu.
Seorang peneroka Felda Bukit Goh, Zaiton Sani, 67, berkata, dia dan suaminya, Abu Bakar Don, 82, hilang punca pendapatan selepas perlombongan bauksit di tanah rancangan itu dihentikan pada Januari 2016.
Katanya, sudah lebih empat tahun mereka hidup tanpa punca pendapatan kerana ladang kelapa sawit milik suaminya ditebang untuk perlombongan bauksit.
“Hendak menanam di ladang pun tidak boleh, tanah sudah tidak subur.
“Saya dan suami hidup atas bantuan anak-anak, susah sangat kehidupan ketika ini. Bantulah kami dengan mulakan perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Semua aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan dihentikan bermula 15 Januari 2016 bagi membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dilaksanakan.
Selepas itu, tempoh moratorium terus dilanjutkan sehinggalah ia berakhir pada 31 Mac 2019.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kehidupan kira-kira 194 peneroka Felda Bukit Goh di sini hanya mewah seketika apabila kini mereka berdepan dengan tindakan LHDN kerana gagal menjelaskan cukai pendapatan daripada hasil perlombongan bauksit pada 2014.
Peneroka Felda Bukit Goh yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bahan mineral itu dilaporkan ‘dikejar’ petugas LHDN yang memburu cukai pendapatan dianggarkan berjumlah RM29.1 juta. – UTUSAN










