MUKADIMAH
Baru-baru ini heboh diperkatakan isu membabitkan polis dengan premis perjudian. Kisah polis dan pihak berkuasa lain melindungi premis perjudian bukan cerita baharu. Sebelum ini sudah ada kes-kes melindungi perjudian dan kongsi gelap didalangi pihak berkuasa termasuk ahli politik.
Mingguan Malaysia menemu bual bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan pandangannya mengenai isu ini.
Dalam temu bual eksklusif ini, beliau yang memegang jawatan KPN sejak 2006 hingga 2010 itu berkata: “Kadang-kadang, kita ini banyak ‘Napoleon kecil’. Mereka ini terdiri dalam kalangan orang bawah dalam agensi-agensi tertentu.”
Ikuti wawancara wartawan Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan jurugambar Mohd. Farizwan Hasbullah bersama beliau di Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu.
POLIS DAN KUASA TULAR
MINGGUAN: Adakah wajar masyarakat gunakan media sosial bagi mendedahkan salah laku pihak berkuasa?
MUSA HASSAN: Viral (tular)pada saya okay, tiada masalah kerana kadang-kadang masyarakat berasa bosan tiada tindakan dilakukan dengan maklumat yang diberi. Ini kesilapan penguat kuasa juga. Oleh itu, mereka luahkan dalam media sosial. Sekarang ini media sosial digunakan meluas tanpa sempadan.
Tetapi janganlah pula pemberi maklumat ini, menokok-tambah. Contohnya, menghina pula penguat kuasa, mendakwa mereka terlibat teruk dengan rasuah. Mungkin ada segelintir tapi tidak wajar dipukul rata semuanya. Kemudian dikaitkan pula dakwaan penguat kuasa ini tidak solat dan sebagainya. Nak ditularkan itu okay, tetapi jangan dihina.
Ada mendakwa pihak berkuasa tutup mata terhadap laporan dan maklum balas masyarakat.
Perkara ini berlaku kerana ada segelintir mereka yang terlibat. Berdasarkan pengalaman, sewaktu membasmi kegiatan judi di Seapark, Petaling Jaya, saya arahkan bahagian siasatan kami untuk siasat dan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) turut serta. Apabila siasatan menunjukkan bahawa betul-betul terlibat, maka ditukarkan terus anggota itu. Jadi, jangan kita tidak ambil tindakan. Jika kita tidak bertindak, benda itu akan berlanjutan. Ini sangat penting.
NAPOLEON KECIL
Sejauh mana kerjasama antara polis dan agensi lain berkesan dalam membendung kegiatan haram?
Dahulu saya dah buat, kita ada mesyuarat. Saya wujudkan hubungan kerjasama dengan pihak kastam, imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan juga PBT. Ini supaya kita boleh bersama menentukan undang-undang dipatuhi. Tapi kadang-kadang, kita ini banyak little Napoleon.
Boleh Tan Sri ulas lebih lanjut?
Little Napoleon ini, mereka adalah kumpulan yang lebih sudu daripada kuah, lebih daripada ketua masing-masing. Mereka ini terdiri dalam kalangan orang bawahan dalam agensi-agensi tertentu. Orang bawahan inilah yang buat segala birokrasi ini.
CAMPUR TANGAN POLITIK DALAM SINDIKET DAN AGENSI POLIS?
Bagaimana pula dengan campur tangan politik?
Kadang-kadang ada campur tangan politik. Ini kerana kewujudan pusat dan premis haram seperti pelacuran, ini semua sindiket. Bukan orang perseorangan, sebaliknya bergerak dalam kumpulan. Mereka ada ketua.
Siapa mendalangi sindiket ini pada era Tan Sri dahulu?
Ketua-ketua sindiket ini ramai kawan. Kadang-kadang kawan-kawan mereka ini terdiri daripada orang politik. Ini kerana mereka ini sumber kewangan. Saya cakap terus terang dalam hal ini, orang nak marahkan saya, marah lah. Sebab ini yang saya alami.
Apabila saya mengambil tindakan, segelintir orang politik marahkan saya. Pasal apa tangkap kawan dia? Jadi saya kata, saya nak kuat kuasakan undang-undang. Saya tak kira kawan siapa. Kalau orang politik sendiri terlibat, saya akan tangkap orang politik.
FORMULA POLIS BEBAS POLITIK
Bagaimana nak bebas daripada cengkaman politik?
Formulanya senang. Ketua-ketua polis ini tadi perlu tegas, tidak terima apa-apa arahan daripada orang politik.
Pernah ada wakil rakyat datang jumpa saya beri saman, suruh saya batalkan saman itu. Dia bawa kepada saya rakyat punya saman dan minta saya batalkan.
Apabila saya tidak layan tuntutan itu dia mendakwa pihak polis tiada hati perut. Polis saman orang naik motor tak pakai topi keledar, jadi dia beri saya seratus saman ini untuk dibatalkan.
Jadi saya kata, Yang Berhormat (YB), ini saman kerajaan punya saman. Saya tak boleh batalkan.
Ini disuruhnya kita pula batalkan saman. Saya beritahu beliau, kalau YB seorang yang baik hati, YB tolong bayarkan saman-saman ini. Saya suruh dia bayarkan dan beritahu nanti saya akan turun ke kawasan YB, beritahu kepada rakyat di sana bahawa YB seorang wakil rakyat yang bagus. Apa-apa saman, serah kepada dia.
POLIS DAN RASUAH
Berapa peratus yang ambil rasuah semasa zaman Tan Sri?
Lebih kurang tiga hingga empat peratus. Tak tinggi. Tapi polis ini selalu berdepan dengan masyarakat. Mereka too open. Kita boleh lihat apabila polis buat sekatan jalan raya atau tahan kereta, orang akan berkata mereka ini ambil rasuah. Persepsi terbentuk di situ. Walhal polis itu nak beri surat saman sahaja.
Itu sebab dahulu saya tak benarkan anggota ini tahan kenderaan lama-lama. Apabila nak beri surat saman, terus beritahu kesalahan dia, terus beri saman. Tak sampai lima minit pun. Kalau tahan lebih daripada lima minit, maknanya ada negotiation (rundingan).
Masa saya dahulu, ada roadblock dibuat oleh polis trafik di Jalan Duta. Saya di pejabat dapat panggilan daripada orang orang awam. “Tuan punya roadblock itu kutip duit. Semua kereta yang ditahan, check kemudian kutip duit.” Saya pun arahkan pegawai saya bersama BPR buat pemerhatian di roadblock itu. Saya kata lepas pemerhatian selama 15 minit, check them, search them.
Kita periksa, jumpa duit. Duit diletak bawah tempat letak kaki kereta peronda, dibuang ke dalam longkang dan sebagainya. Jadi saya ambil tindakan, ketuanya saya buang kerja. Inspektor yang menjaga ketua juga, dibuang kerja. Mereka rosakkan imej ketua.
KETIDAKSTABILAN POLITIK
Ketidakstabilan politik adakah boleh menganggu keselamatan negara?
Kalau dulu kita tengok setiap wakil rakyat ini bekerja untuk membantu rakyat. Mereka bekerja untuk membangunkan negara. Tapi sekarang saya lihat, segelintir wakil rakyat ini bekerja untuk kepentingan peribadi. Sepatutnya orang politik ini menyatukan rakyat. Memang ada beza antara ahli politik dahulu dengan sekarang. Ini kerana dahulu kalau untuk kepentingan negara, mereka (wakil rakyat) ini bersatu. Tapi sekarang tidak, apa yang nak dibuat baik untuk negara, pasti ada yang membangkang.
Ini bukan sahaja beri kesan terhadap keselamatan negara malah ekonomi. Apabila politik tidak stabil, tiada siapa yang akan datang melabur dalam negara. Itu nombor satu. Keduanya, akan mengundang anasir-anasir lain untuk semakin destabilize tanah air. Ini sekali gus akan menggugat keselamatan dan keamanan negara. Itu sebab kita lihat sekarang seolah-olah macam perpaduan antara kaum ini tidak kukuh. Kalau kita lihat dalam media sosial, maki sini maki sana, ini apa cerita?
BUKAN SEBAB GAJI
Berbalik soal integriti, apa faktor polis ambil rasuah?
Soal gaji kalau banyak gaji sekalipun tapi tiada integriti, iman tidak cukup, masih akan ada rasuah. Pada saya bukan sebab gaji. Ini adalah pembangunan kerohanian seseorang. Benda ini perlu dididik semasa kecil, integriti bukan bila dah tua baru ada integriti.
Selain itu, faktor lain segelintir mengambil rasuah adalah kuasa. Kuasa ini apabila disalah guna, memang akan cenderung ke arah rasuah. Itu sebab seorang penguat kuasa itu atau orang yang berkuasa ini tadi, perlu berhati-hati dengan kuasa. Jangan menyalah guna kuasa. Saya dulu selalu nasihatkan pegawai saya, jangan ingat ada kuasa, anda orang yang paling kuat.
Orang yang ada kuasa ini, satu kaki di luar lokap, satu lagi kaki dalam lokap. Kalau tak betul, nescaya masuk ke lokap.
GOLF BANYAK UNSUR RASUAH?
Apa aktiviti Tan Sri sekarang?
Saya tubuhkan NGO, Malaysia Community Crime Care atau MCCC. Ini berkaitan keprihatinan komuniti terhadap jenayah. Saya sebagai Presiden. Di sini, NGO akan membantu mangsa jenayah. Kadang-kadang mereka buat laporan polis, tapi polis tak siasat. Jadi saya semak dengan polis, kenapa tak siasat? NGO ini dianggotai pelbagai lapisan masyarakat dalam kalangan polis itu sendiri serta orang awam. Kami juga banyak membantu memberi penerangan berkaitan jenayah. Ditubuhkan pada 2013 dan macam yang dikongsikan tadi, nombor telefon saya ini semua orang tahu. Sampai sekarang mereka hantar maklumat kepada saya. Jadi bila terima satu-satu maklumat, saya boleh semak.
Tan Sri main golf?
Saya tak main golf. Sebaliknya saya menunggang kuda atau berlari. Saya tak pernah main golf pasal tak suka. Pertama, ia banyak memakan masa. Kedua, kadang-kadang kita main golf dengan orang yang tidak betul. Itulah tempat rasuah. Sebab saya tak main golf, itu sebab orang tiada peluang beri rasuah kepada saya. Kalau tidak, dia main sama dengan sayalah, kasi menang.
Dari segi perwatakan, ramai melihat Tan Sri dan adik-beradik lain semuanya berjaya dalam bidang masing-masing. Komen Tan Sri?
Pertama, adik beradik saya semua 22 orang. Jadi didikan ayah, beliau memberikan saya tanggungjawab menjaga disiplin adik beradik. Saya diminta untuk selalu berbincang dengan adik beradik. Kalau ada masalah, bincang dengan saya dahulu. Ayah saya tak mahu tengok dan saya sendiri beritahu ayah saya, apa masalah mereka dan kaedah nak selesaikan. Itu diajar oleh ayah saya. Proses problem solving ini, sudah didedahkan kepada saya seawal umur 10 tahun.
Kedua, ayah saya tidak manjakan saya dengan duit. Dulu untuk dapatkan 20 sen, kami kena basuh kereta. Itu ajar saya jadi bertanggungjawab dan faham nilai duit ini. Kita nak belanja tidak tentu arah pun, kita tak mahu. Sebab kita dapat melalui titik peluh kita. Itu diajar, potong rumput, basuh kereta.
Ayah saya juga ajar kami disiplin dan agama. Ayah saya kalau tak solat sama dengan dia, Maghrib tiada di rumah, kenalah.
Tapi ayah saya tidak kongkong, apa awak nak jadi (cita-cita), jadi lah. Tapi dia akan tentukan, bab agama kena diperkasakan terlebih dahulu. Pelajaran agama itu penting. Itu kena tahu, itu asasnya. Jadi awak tak akan lari daripada landasan hidup. – Mingguan Malaysia










