Mengukur bahagia? - Utusan Malaysia

Mengukur bahagia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pagi itu, ketika memandu meredah kesesakan jalan raya untuk ke pejabat, tiba-tiba telinga saya menangkap lagu Bahagia, nyanyian Sheila Majid. Rasa sudah lama betul lagu berirama Jazz yang rancak dan segar itu tidak berkumandang di radio.
Selalunya pada waktu pagi, saya suka mendengar celoteh Aishah, Rod dan Prem di stesen radio Mix FM. Tiga penyampai radio ini sering membuat saya ketawa sendirian dalam kereta. Topiknya selalu membincangkan isu-isu sosial dan semasa. Jenaka mereka pun bukan kosong. Bukan sendiri buat lawak, sendiri ketawa.
Tetapi hari itu, ketika siaran stesen radio berkenaan seperti ada sedikit gangguan frekuensi, saya alih sekejap ke siaran lain dan terdengarlah lagu Bahagia. Memang bahagia rasanya saya ketika itu. Ketegangan memandu di Lebuh Raya Persekutuan di kala waktu puncak, perlahan-lahan mengendur.
Terdetik pula di hati saya, apa ukuran bahagia? Takkan dengar lagu pun dah rasa bahagia? Ada orang bila dapat menghirup kopi premium di pagi hari, itu pun rasa bahagia. Ada pula, cukup bahagia selepas mengecam, mencarut dan memfitnah dalam laman sosial. Kalau satu hari tak buat begitu, boleh gigil satu badan!
Tapi, bahagia pun bukan sesuatu yang statik. Tidak kekal. Ia mengikut faktor persekitaran. Ada juga frekuensinya. Soalannya sekali lagi macam mana nak ukur bahagia?
Baru-baru ini, saya ada membaca berita mengenai `bandar bahagia’. Bandar raya Seremban, Negeri Sembilan, Melaka Bersejarah dan Kuala Terengganu diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di negara ini sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020. Pemilihan ini adalah berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Turut disenaraikan bandar Bentong dan Kuantan, Pahang, Jasin, Melaka, Kulai, Johor, Taiping, Perak, Jeli, Kelantan dan Yan, Kedah.
Ia dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 aspek utama termasuk tahap kehidupan dan kesihatan; keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam; infrastruktur asas; kebahagiaan bersama keluarga dan saudara mara serta keseronokan bekerja.
Hari Kebahagiaan Sedunia diisytiharkan pada 20 Mac setiap tahun selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2012 yang menekankan ‘kebahagiaan dan kesejahteraan adalah matlamat universal dan impian setiap orang di dunia ini’.
Ya, beberapa tahun kebelakangan ini kita rupanya sudah ada indeks bandar bahagia dan indeks kebahagiaan dunia.
Dan dalam Indeks Kebahagiaan Dunia tahun lalu, menurut PBB berdasarkan kajian pada 2018 hingga 2019, kedudukan Malaysia jatuh 45 tangga daripada ke-35 kepada 80. Betullah tu, bahagia ada turun naiknya.
Berbalik pada bandar bahagia. Mana perginya bandar raya Kuala Lumpur? Bandar raya Shah Alam? Tidak masuk dalam kajiankah? Tidak bahagiakah penduduk bandar raya ini?
Mungkin kesesakan lalu lintas yang saya lalui setiap hari antara jawapannya. Yelah, bahagiakah menghabiskan banyak masa di jalan raya dalam sehari pergi dan pulang kerja.
Paling teruk bila waktu hujan berlakunya banjir kilat, pokok tumbang dan sebagainya. Mencari parkir di tempat awam pun satu hal juga. Kadar bayaran parkir pun mahal.
Dan ada yang bertanya boleh percayakah kita dengan segala indeks ukuran bahagia ini termasuk macam-macam penemuan kajian lain?
Bolehkah ia dinilai dengan mata kasar? Soal selidik tidak merangkumi semua golongan. Tidak menyeluruh. Setakat menanyakan responden 100 orang atau lebih kurang daripada itu, sudah dikata mewakili semua.
Tanya atau tidak peniaga-peniaga kecil. Apa kerenah birokrasi yang kena hadap? Peluang pekerjaan yang wujud dalam bandar raya pula bagaimana? Gembirakah mereka bekerja? Ada majikan hendak macam-macam tetapi bayar gaji kecil.
Dan bagaimana pula mengukur indeks bahagia individu? Adakah boleh dinilai melalui gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman sosial? Yang dari luaran nampak gembira dan bahagia manakala yang duduk diam tidak memuat naik gambar bersama keluarga atau kawan-kawan dikata hidup tidak gembira? Ini sendiri boleh jawab. –Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN