Mengejar tenang, menyusur bahagia - Utusan Malaysia

Mengejar tenang, menyusur bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh ALIF FADLI & AIDA RIZMARIZA

BUKAN tugas mudah untuk membingkaikan dua figura hebat ini dalam satu gambar. Mereka nama besar, bukan calang-calang untuk kita perlekehkan. Namun jujur, mereka berjiwa hamba.
Setiap soalan dijawab dahulu dengan senyuman. Pengalaman mengajar mereka untuk bijak mengatur kata. Lantas perkongsian hati ke hati mudah ibarat lancarnya air di sungai deras.
Bergelar janda, itu bukan satu masalah untuk penyanyi bersuara emas, Ziana Zain. Malah, bagi pelakon popular, Rozita Che Wan, 12 tahun memegang gelaran itu, dia lalui dengan tenang dan bahagia.
Membedah kisah dalam hati dua anak seni ini, mereka sedia berkongsi. Jelas kebahagiaan adalah papan sasaran. Tidak mahu dibebani fikiran keji, mereka bersihkan hati. Ini cerita mereka, dari dalam sudut hati.

Anak-anak adalah nyawa – Ziana Zain

TIDAK usah kita gali kembali kisah lampau. Cukup sekadar apa yang kita tahu, selainnya biar empunya diri memendam cerita.
Pertemuan pertama kami cukup serasi. Senang berkongsi cerita, mudah meluah rasa. Tidak ada rasa ralat, tidak ada rasa gusar. Segalanya berjalan lancar.
Menyusuri hati penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain, dia perlahan meng­ang­guk setuju tatkala pertanyaan adakah hatinya kini lebih tenang. Dia jalani hidup dengan senyuman.
Sedar laut mana yang tidak dibadai ombak, bumi mana tidak dibasahi hujan, Ziana tidak mahu berpaling melihat duka lalu. Dia terus ke hadapan menikmati detik bahagia bersama keluarga dan anak-anak.
“Anak-anak adalah nyawa saya. Setiap apa yang dilakukan, segalanya atas niat untuk anak-anak. Alhamdulillah, kehidupan kami lebih tenang dan bahagia.
“Hubungan saya dan bekas suami juga baik. Dia ada berjumpa anak-anak. Itu hak dia. Saya tak halang. Apa yang penting, saya kena usaha keras, cari rezeki untuk anak-anak,” kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Madah Berhelah ini.
Bergelar janda di tangga usia 52 tahun, pastinya ada kata-kata sinis malah mata-mata jelik yang memandang. Namun, hati kental wanita besi ini menidakkan semua.
“Kalau nak fikir cemuhan dan kecaman orang, selamanya kita terpuruk dalam gelap. Dahulu memang gelaran janda ini tabu, tapi tidak sekarang. Kita hidup di zaman moden.
“Jangan mengeluh, jangan berduka. Kita kena kuat. Yakin dengan rezeki dan perancangan tuhan.
“Doa saya, Tuhan berikanlah anak-anakku kehidupan yang mereka impikan. Berilah mereka kasih sayang dan rahmat-Mu,” katanya sambil menahan air mata menyentuh pipi.
Berbicara soal kerjaya, kini wajah pelakon siri filem popular, Maria Mariana ini boleh ditonton setiap Isnin hingga Rabu di saluran Awesome TV menerusi drama, Janda Kosmopolitan.
Memegang watak Wan Natelia, Ziana bergandingan dengan pelakon lain seperti Rozita Che Wan, Marissa Yasmin dan Liza Abdullah.

Jangan perlekeh janda – Rozita Che Wan

BAHAGIA melayari rumah tangga ketika ini, kongsi Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta sehingga ke saat ini dia tidak malu untuk mengingatkan mereka di luar sana tentang status janda yang pernah dibawanya selama 12 tahun.
Kongsi Che Ta gelaran janda bukanlah sesuatu yang memalukan malah dia sehingga kini sentiasa memandang tinggi akan wanita dengan gelaran tersebut.
“Saya tidak pernah malu mengaku pernah membawa gelaran janda sebelum ini, berkongsi apa yang pernah saya lalui. Apa yang wanita ketika ini perlu tahu sentiasa bersiap sedia dengan apa juga kemungkinan.
“Jangan terlalu selesa, bila berlaku apa-apa dalam perkahwinan, wanita itu sendiri yang akan bertanggungjawab ke atas nasibnya.
“Jangan takut untuk berhadapan dengan kehidupan, sebab saya yakin wanita yang diuji dalam perkahwinan ini secara tidak langsung akan memiliki kekuatan tersendiri,”jelasnya.
Tambah Che Ta sebagai seorang yang pernah melaluinya dia yakin pengalaman dalam perkahwinan terdahulu banyak mengajarnya untuk sentiasa bersikap tegas.
“Jangan berkahwin lagi hanya malu dengan gelaran ini. Jika kehidupan lebih bahagia dengan anak-anak mengapa perlu letakkan diri dalam keadaan yang sama.
“Soal jodoh bukan boleh kita kawal, tetapi kena realistik dalam membuat keputusan. Bukan hanya berkahwin kerana ingin status isteri, tetapi persediaan kita sendiri untuk melalui alam perkahwinan itu sekali lagi,”katanya ringkas.
Bercakap mengenai perkahwinannya kini dengan pelakon Zain Saidin, kata Che Ta antara amalan yang membuatkan hubungan dengan suami cukup harmonis adalah dia sering mengingatkan tanggungjawab Zain dalam memberi wang nafkah.
“ Bukan wang itu sangat yang saya mahukan. Tetapi tanggungjawab itu kelak yang menguatkan hubungan kami suami isteri. Perkara utama yang dilakukan Zain setiap awal bulan adalah beri wang bulanan.
“Nampak macam biasa, tetapi tanggungjawab inilah yang akan memberi impak kepada hubungan. Macam saya memang mampu untuk beli apa sahaja dengan wang sendiri, tetapi itu bukan soalnya sebab kita tidak mahu lepas pandang soal ini,”katanya tegas.

Hilang mewah?

Melihat komen yang ditinggalkan dalam laman sosialnya ada merasakan kehidupan wanita berusia 47 ini, sudah tidak mewah. Membayangkan wanita ini sudah hidup sederhana ramai juga bertanya mengenai kehidupan terkininya. Ketawa dengan pertanyaan itu, bagi Che Ta apa yang dikongsikan dalam laman sosial bukanlah satu pertandingan.
“Kehidupan saya masih biasa, malah percutian bersama keluarga itu juga adalah wajib untuk kami kongsikan dalam laman sosial. Cuma buat masa ini percutian dalam negara sahajalah.
Sama seperti selebriti lain, Che Ta akui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada pendapatannya. Malah sehingga kini kerugiaan yang dialaminya sudah mencecah ratusan ribu ringgit.
“Banyak tawaran terpaksa dibatalkan sepanjang PKP. Sebagai seorang selebriti memang saya terasa dengan keadaan ini,” katanya. –Pancaindera, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN