Jangan harap muka saja! - Utusan Malaysia

Jangan harap muka saja!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISNIN lalu, seorang rakan sekerja lelaki bertanyakan kepada saya, esok hari wanita kan?
Saya terpinga-pinga. Betulkah? Bukan sudah lepaskah? Tanya saya balik.
Saya pun mencari dalam internet. Memang hari wanita peringkat antarabangsa sudah berlalu pada 9 Mac lalu. Tetapi betullah! Esok hari wanita tetapi peringkat kebangsaan.
Saya pun hairan bercampur kagum macam mana seorang lelaki boleh ingat sangat pasal hari wanita ini. Peringkat kebangsaan pula tu. Sedangkan saya dalam kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga tak berapa nak mengingati sambutan hari-hari tertentu. Hari jadi saya, saya ingatlah!
Dan yang pasti, pada keesokan harinya pada hari wanita, tiada apa-apa elemen kejutan berlaku pada diri saya. Dalam media sosial pun tak ramai beri ucapan selamat hari wanita, tak seperti menyambut hari ibu, bapa, guru dan kekasih.
Mungkin kebanyakan wanita pun tidak tahu, hari itu hari wanita. Iyalah, hari apa pun, bagi wanita kerja rumah dan kerja pejabat kena jalan macam biasa.
Lainlah kalau pada hari tersebut, orang lelaki hendak buatkan semua kerja itu! Barulah hari itu saya boleh ingat sampai bila-bila.Tetapi apa pun, tenang betul hari wanita yang bertemakan Wanita Waja Negara Sejahtera’ berlalu pada Selasa lepas.
Bercakap pasal hari wanita, tentu ia tidak dapat lari daripada menyentuh tentang pencapaian wanita. Tentang berapa ramai wanita bekerja, bekerja di sektor mana dan berapa ramai pula yang memegang jawatan penting termasuk dalam pentadbiran negara.
Bagi yang tidak bekerja pula, mereka ini lagi sibuk dan letih. Kerja rumah memang tak habis-habis. Jangan sesekali meremehkan sumbangan mereka ini pada negara. Kekuatan institusi keluarga banyak bergantung pada suri rumah.
Wanita yang diberi kepercayaan memegang jawatan tinggi dalam organisasi atau pertubuhan politik, cabarannya tentu lebih lagi. Memegang jawatan tinggi bukan untuk bermegah-megah. Berat tanggungjawabnya.
Tetapi itulah, ada orang kata, tak ramai ahli politik wanita di negara ini yang berani bercakap. Mengeluarkan idea-idea bernas. Semua play safe, kata orang putih.
Nak bercakap pun hanya hal-hal dasar dan retorik yang sesuai untuk bacaan buletin dalaman. Takut menyuarakan pandangan.
Mungkin bimbang dikecam dan diketawakan. Iyalah, zaman sekarang ini bukan main lagi `tentera bawang’ buat kerja.
Betul, kita semua kena banyakkan buat kerja berbanding bercakap. Tetapi rugilah ada autoriti untuk bercakap dan mengeluarkan perintah tetapi duduk diam-diam saja, senyap sunyi dan semua kena tunggu arahan orang atas baru boleh bercakap. Lebih baik pilih kerja pejabat saja.
Bercakap tentang kerja pula, saya rasa bukan saya saja sering mendengar orang mencemuh – “dia ni harap muka saja cantik tapi tak reti buat kerja! Atau “harap bulu mata palsu saja lentik lapan inci, kita tanya soalan mencabar sikit dah gelabah dan tak tahu jawab.”
Kata-kata sebegini, walaupun panas telinga untuk didengar tetapi ada kebenarannya. Memang adakalanya kita patut berpegang kepada peduli apa orang lain nak cakap. Tetapi persepsi wanita hanya menonjolkan rupa paras untuk mendapat tempat dan perhatian harus dipadamkan.
Apa pun, di zaman ini kebolehan, kecekapan dan kecerdikan menjadi ukuran dan dinilai dalam pekerjaan. Bukan paras rupa. Sedang­kan ratu cantik dunia pun dipilih bukan sekadar melihat paras rupa tetapi isi otaknya.
Walaupun ketidakseimbangan gender pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini dilihat semakin merunsingkan, rata-rata nisbah kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPT adalah antara 40-60, 30-70 dan difahamkan ada IPT nisbahnya 25-75, itu tidak boleh disimpulkan secara keseluruhan wanita akan menguasai pasaran kerja.
Hakikatnya, pencapaian akademik yang tinggi saja tidak cukup untuk mengasah menjadi seorang pemimpin dan pekerja berwibawa. Wanita kena banyak menimba ilmu. Membacalah. Jangan setakat baca dan melayan status-status dalam media sosial. Itu yang kadang-kadang boleh buat otak beku! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN