Dah bagi murah, nak murah lagi! - Utusan Malaysia

Dah bagi murah, nak murah lagi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DAH ba­nyak maka­nan dan minu­man kesihatan ni dekat rumah. Beli tapi tak makan. Tak sempat makan. Kadang-kadang lupa,” jawab saya lurus. Bukan nak mengelak. Tapi itulah ceritanya.
Kawan saya itu mengangguk. Tak tahulah sama ada anggukan itu tanda faham atau hampa.
Bukan apa, kalau dilayan semua pujukan beli itu ini membazir saja jika tidak dimakan atau digunakan. Paling penting setiap hujung bulan saya tidak perlu panik, gelabah atau termenung. Faham-faham sajalah.
Dalam tempoh beberapa minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kawan saya ini tiada kerja tetap. Jadi dia fokus pada perniagaan dalam talian (online). Sebelum diberhentikan kerja pun dia sudah jual macam-macam. Bukan setakat makanan kesihatan tetapi tudung, baju kanak-kanak dan terbaharu pelitup muka.
Katanya, masa PKP dulu, dia meraih keuntungan yang tinggi. Orang duduk di rumah. Tak boleh membeli di kedai, mereka beli tudung dan baju anak-anak secara online. Ketika itu pula hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tak menang tangan melayan pelanggan.
Aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan lonjakan luar biasa sebanyak 2.9 peratus pada April lalu iaitu ketika negara ini melaksanakan PKP bermula Mac. Peningkatan itu dicatatkan ketika sektor perniagaan lain termasuk francais mengalami kesan besar susulan pandemik Covid-19 sejak akhir Disember lalu sehingga kini.
Dilaporkan pula sebanyak 53,285 perniagaan online berdaftar dengan Suruhanjaya Malaysia (SSM) sehingga 10 Julai lalu.
Sekarang ini, kawan saya itu merindui masa PKP. Sangat rindu. Tak ramai lagi yang bertanya tentang baju, tudung atau makanan kesihatan jualannya. Mungkin semua sudah berhati-hati dalam berbelanja. Agaknyalah.
Dia memberitahu saya, inilah cabaran meniaga secara online. Tetapi selain tiada orang beli, kekurangan modal dan stok, nak menghadap kerenah pelanggan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Ramai yang tanya macam-macam tetapi akhirnya tak beli. Yang dah nak beli tapi saat-saat akhir tak jadi beli pun ada. Yang bandingkan harga dengan peniaga-peniaga online lain pun ramai dan yang paling selalu, nak harga murahlah.
“Ada yang bertanya tu, dalam Facebook bukan main lagi tayang pergi makan tempat mahal, melancong sana sini, beli beg berjenama tapi nak beli tudung minta harga paling murah sampai saya tak dapat untung satu sen pun,” ceritanya.
Katanya, harga dah tetap tetapi masih minta diskaun, bukan setakat diskaun, minta penghantaran percuma pula!
“Kadang-kadang sampai fikir, pelanggan ini sebenarnya tak nak keluar duit langsungkah? Cakap sajalah nak free. Kalau ada lebih, saya bagi sajalah,” katanya menahan geram.
Bab-bab minta harga murah ini memang dah biasa dengar. Siapa tak mahu beli murah? Tetapi agak-agaklah kalau nak minta harga murah sekali pun. Fikirlah. Tak akan orang meniaga tiada dan tak nak untung? Mereka ini berniaga untuk suka-suka saja atau memenuhi masa lapangkah?
Ramai peniaga online yang menjadikan kerja ini sebagai punca rezeki. Ada terpaksa ikat perut apabila tiada orang yang beli barangan mereka. Tetapi itulah pelanggan pula tak fikir hal ini, hanya memikirkan diri sendiri dan bila dah diberi harga murah pun, nak tekan murah lagi!
Kawan-kawan pun satu hal pula, mereka minta ‘harga kawan-kawan’. Setakat beri semangat pada kawan itu mengatakan bagus meniaga ini tetapi selepas itu minta harga murah tak masuk dek akal, itu beri sokongan atau mahu kasi perniagaan dia bungkus?
Saya sangat respect orang berniaga ini. Mereka cekal dan sabar. Saya pula tiada kesabaran menghadapi kerenah seperti ini. Kalau situasi begini berlaku pada saya, yang pasti saya akan cakap – “nak murah buat sendiri kakak.” Sebab itu, lebih baik saya menulis saja. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN