MALAYSIA menjadi lima negara teratas dalam kadar penembusan Internet di Asia Tenggara. Setiap pelayar Internet negara ini memperuntukkan secara purata lapan jam sehari untuk urusan secara dalam talian. Ini termasuk perbankan dan jual beli. Kita memang mengalu-alukan kadar penembusan Internet yang tinggi kerana kehidupan kini terarah kepada teknologi digital, misalnya bertambahnya jumlah kakitangan yang bekerja dari rumah. Banyak urusan boleh diselesaikan secara dalam talian berbanding konvensional.
Kadar penembusan Internet yang tinggi menjadi pemangkin kecanggihan dalam teknologi komunikasi, salah satunya media sosial. Dua dekad lalu kita mungkin tidak pernah membayangkan akan wujud satu jaringan maya di media sosial yang sehebat hari ini.
Kadar penembusan Internet tinggi meningkatkan jumlah pengguna media sosial yang mewujudkan satu jaringan warga maya sangat berpengaruh. Mereka mempunyai pengaruh tertentu dalam pembentukan sosiobudaya dan politik.
Bayangkan dalam negara yang populasinya lebih kurang 31.8 juta orang, 24 juta atau 75 peratus adalah pengguna media sosial. Secara purata mereka menghabiskan tiga jam sehari di media sosial.
Bagaimanapun sebahagian daripada pengguna media sosial tidak celik media. Mereka tidak memahami kesan dan peranan media yang berada di telapak tangan. Malah lebih teruk lagi menjadikan media sosial sebagai eskapisme berdepan dengan hakikat hidup.
Media sosial menjadi tempat longgokan individu tidak bertanggungjawab, rendah pekerti, tidak bermoral selain oportunis politik yang menjaring laba dengan makian dan celaan terhadap pihak lawan. Di sinilah tempat bergelumangnya manusia-manusia yang buruk dan bahaya.
MELULU
Disebabkan tidak memahami media serta tidak celik politik, budaya dan sosial, mereka dengan mudah diaruskan oleh gelombang utama dalam media sosial. Faktornya sebahagian daripada pengguna media sosial bukan pencetus tetapi pengikut yang melulu.
Kerana melulu, mereka tidak dapat membezakan antara ungkapan-ungkapan yang baik dan sebaliknya dalam acuan adab dan susila. Media sosial telah menerobos lingkaran budaya mengenai adab dan susila, membentuk satu kebiasaan baharu yang tidak lagi beradab dan bersusila.
Di mana hilangnya didikan semasa kanak-kanak yang dialirkan oleh kedua-dua ayah dan ibu serta guru tentang peri pentingnya memelihara adab dan susila dalam berkomunikasi? Adakah mereka telah terlepas daripada belenggu apabila menjadi warga maya di media sosial?
Kebiasaan baharu ini telah menjelma beberapa tahun kebelakangan dan diamalkan secara meluas oleh sebahagian besar warga maya. Cacian dan makian dianggap perkara biasa malah seolah-olah sebagai ‘prasyarat’ dalam media sosial.
Tanpa menafikan hantaran-hantaran yang memberikan manfaat di media sosial, kita juga tidak boleh memejam mata terhadap pelanggaran sosial yang berlaku dengan sewenang-wenangnya.
Kita tidak boleh mengizinkan pembentukan generasi hilang pekerti untuk memacu negara pada masa depan.
Adab dan susila semestinya menjadi pegangan tanpa mengira kaum, kepercayaan agama dan apa juga keadaan. Istilah warga mesti difahami sebagai warganegara yang hidup di bawah payung Perlembagaan. Warganegara mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara di mana kedaulatan undang-undang sebagai prinsip keempat, kesopanan dan kesusilaan prinsip kelima.
Warga maya dengan sedar dan ada juga tidak sedar telah melanggar garis kesopanan dan kesusilaan. Malah melanggar garis kedaulatan undang-undang atas nama ‘kebebasan bersuara’.
KELIRU
Sebenarnya mereka dalam kalangan yang keliru dan dikelirukan antara kebebasan bersuara dan kebiadaban.
Perbuatan biadab tidak ada kena mengena dengan kebebasan dan kebebasan bukan biadab. Menyuarakan sesuatu dengan bebas tetap dalam lingkungan sopan dan susila. Tidak ada pejuang kebebasan yang sirna adab dan susila.
Tetapi malangnya kebiasaan baharu ini diterima tanpa banyak soal hingga bertukar daripada meraikan kebebasan kepada membuli dan mencela pihak yang tidak sehaluan. Ini bukan sahaja dilakukan dalam kalangan remaja malah yang jauh berusia dan menjadi warga emas.
Mereka dengan mudah hilang pekerti dan sosok peribadi apabila beraksi dalam media sosial. Ungkapan-ungkapan, termasuk yang tergolong sebagai pemimpin politik tidak tergamak untuk diulang sebut. Celaan dan kutukan meletakkan mereka setaraf remaja liar yang baharu hendak mengenal hidup.
MEMBINA
Teknologi sewajarnya membina bukan meruntuhkan. Teknologi yang dibawa oleh Internet sepatutnya diraikan untuk kemudahan berkomunikasi termasuklah menyuarakan pandangan tetapi hakikat yang berlaku sebaliknya.
Inilah isyarat-isyarat keruntuhan tamadun sesuatu bangsa. Ia berlaku dengan pantas – adab dan susila terbang entah ke mana pada takah masa yang disebut zaman maklumat serba maju.
Pembulian dalam media sosial sangat ganas dan kejam – tertuduh dihukum tanpa bicara, diserang dari pelbagai sudut untuk membunuh karakter. Mangsa akan dibuli secara berpasukan dan kerapkali undang-undang mengenai dunia siber tidak banyak membantu.
Inilah yang dikatakan oleh golongan bijak pandai, kemajuan teknologi yang bertaraf dunia sekalipun tidak ada maknanya kalau pengguna berfikiran semundur warga kelas tiga. Kemajuan akan mendatangkan kerosakan sekiranya tidak berjejak pada matlamat memuliakan insan.
Kuasa warga maya memang tidak boleh dinafikan lagi. Mereka sangat berpengaruh mencorakkan pemetaan sosial terutama dalan kalangan remaja. Kebiasaan baharu ini menunjukkan jalan keruntuhan berbanding kemajuan kecuali ada usaha yang serius menanganinya.










