'Ibarat benang yang sudah putus' - Utusan Malaysia

‘Ibarat benang yang sudah putus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menafikan dirinya ego, malah jauh sekali mementingkan diri. Tuturnya, hanya individu rapat pasti akan mengenali watak dan karakternya yang sebenar. Oleh itu, sebarang penilaian tanpa berlandaskan fakta mungkin lebih kepada tuduhan. Kerana ada ketikanya prinsip dan maruah perlu diutamakan walau ia begitu pahit untuk ditelan.
Isu gitaris tersohor, Joe angkat kaki dari kumpulan Wings bukanlah cerita baharu, malah tercetus ketika pembatalan Konsert 30 Tahun Wings di Kota Kinabalu, Sabah pada Disember 2016 dan masih diperkatakan sehingga kini.
Pada awalnya, pemuzik yang pernah menerbitkan lebih dari 30 album ini lebih banyak mengunci mulut, merahsiakan apa yang berlaku.
Namun, bangkai gajah masakan dapat ditutup dengan nyiru, pengunduran gitaris ini akhirnya bukan lagi rahsia.
Tidak dinafikan watak Joe dalam Wings ibarat rencah dalam masakan. Tanpa sentuhannya, tampak sedikit kecacatan dan kekurangan sisi kumpulan ternama itu.
Masakan tidak, lebih suku abad mendambakan diri dengan kumpulan yang telah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya, digaul pula dengan puluhan album dan ratusan konsert berskala kecil dan besar yang dihadam peminat selama ini.

Selisih faham

Yang jernih ada ketikanya bertukar keruh. Perselisihan faham akhirnya membawa kepada pengunduran figura ini. Bersama Mingguan Malaysia, pemilik nama sebenar Abd. Zamin Abd. Kadir, 50, ini secara santai meluah rasa mengenai badai yang melanda.
“Bersama Wings, aku dah capai tahap paling tertinggi dalam kerjaya sebagai seorang pemuzik. Jadi, rasanya tiada apa lagi yang perlu aku kejar. Aku lebih selesa dengan keadaan sekarang. Buat apa yang aku rasa nak buat. Dengan kata lain, layan kepala sendiri lagi bagus.
“Sebelum ini kami pernah duduk semeja berbincang, tapi masih tiada jalan penyelesaian. Jadi, langkah terbaik, angkat kaki. Tipulah kalau tak rasa sedih, kecewa semua itu.
“Lebih suku abad bersama, tapi bila rasa tak dihargai, buat apa nak stay lagi? Sampai satu tahap aku rasa tak mengapalah, biarlah mereka buat sendiri. Aku ini pun bukanlah hebat mana, gitaris biasa-biasa saja,” katanya.
Ketika dicelah adakah dia sudah berpatah arang dengan Wings, sehinggakan seakan tidak mahu dikaitkan langsung, Joe menafikan perkara itu. Baginya, dalam usia sebegini tidak perlu memanjangkan geruh yang berlarutan.  Cukup hanya mereka yang terlibat sahaja tahu.

Bukan budak-budak 

“Kita ini bukan budak-budak lagi. Dah tua. Nak bergaduh macam ini malu dengan anak-anak. Aku tiada masalah dengan mereka. Kalau jumpa pasti akan tegur sebab kita dah kenal berpuluh tahun. Tapi buat masa ini memang kami tak berhubung, sebab tiada perkara yang hendak dibincangkan lagi. Tambah Joe, tak cukup dengan itu, ada yang menghentamnya dalam media tetapi dia mengambil pendekatan berdiam diri.
“Boleh saja kalau nak jawab, tapi untuk apa? Aku diamkan diri selama ini bukan bermakna aku salah, tapi malas memanjangkan cerita.
“Kalau nak cari siapa betul dan salah memang sampai kiamat takkan terlerai. Dalam perjalanan 30 tahun bersama, pasti masing-masing dah kenal hati budi dan ada buat salah. Tak perlu tuding jari menyalahkan satu pihak. Penyelesaian pasti ada jika tiada campur tangan pihak luar yang kononnya lebih arif daripada kami sendiri. Tapi benda pun dah jadi. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.
“Aku jaga Wings dengan sepenuh jiwa raga. Masa Black keluar, Awie keluar aku cari pengganti mereka. Aku nak pastikan Wings masih bernyawa walau bertukar anggota. Ibarat rumah yang rosak, aku tampal segala kecacatan. Atap rosak, lantai rosak, dinding rosak, semua aku ganti dengan cepat. Tapi akhirnya bila dah cantik, aku pula yang dipaksa keluar,” katanya.

Wings milik rakyat

Tegas Joe, Wings bukan milik individu, tetapi sudah jadi milik rakyat Malaysia atau khazanah muzik negara. Ahli kumpulannya berhak membawa jenama Wings kerana setiap individu ada peranan dalam menentukan hala tuju masing-masing. Bagaimanapun, katanya, yang penting adalah ‘pilotnya’ kerana perlu membawa ke arah yang betul dan jangan sampai tersesat arah.
Bercerita lanjut, Joe tidak menafikan ramai rakan dan peminat berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan secara baik. Apatah lagi kumpulan yang boleh dianggap sebagai ikon rock Malaysia ini sudah sepatutnya berada di puncak untuk meneruskan legasi mereka. Namun baginya, semua itu tidak mustahil dan bergantung pada takdir.
“Apa-apa pun masa yang akan menentukan segalanya. Mereka kena banyak berdoa. Ia ibarat sehelai benang yang dah putus. Kalau nak disambung perlu diikat kukuh.

“Buat masa ini, aku tak layak bercerita tentang masa depan Wings, sebab aku ini ahli yang telah dibuang. Apa perancangan hadapan mereka, tanyalah kepada yang masih bersama Wings.

“Nak telan memang pahit, tapi aku kena move on. Muzik adalah sebahagian daripada hidup aku. Walaupun tak bersama Wings, aku akan terus berkarya dengan cara aku,” terangnya.

Band baharu

Menubuhkan Prime Domestic sebaik sahaja mengundurkan diri dari Wings dilihat sebagai keputusan yang cukup drastik, seakan ingin memberitahu peminat yang patah pastinya akan berganti. Namun kemampuan Prime Domestic akhirnya dipertikaikan peminat kerana walaupun dibarisi mereka yang ‘bernama besar’ masih belum mampu menyaingi kumpulan lamanya.

“Mungkin ada kesilapan ketika awal penubuhan Prime Domestic dahulu. Aku tak nafikan masing-masing ada ‘kepala sendiri’. Setiap anggota berharap semuanya jadi cepat dan tak perlu merangkak dari bawah. Bila yang diharapkan itu tak jadi kenyataan semua kecewa. Aku tak boleh kerja dengan keadaan yang macam ini.
“Aku tahu masing-masing dah ada nama, tapi kena ingat semuanya pun akan ditentukan peminat. Mereka yang menentukan tahap kita di mana. Jadi kena sabar dan tunggu. Tak kan tanam pokok hari ini esok nak petik buah. Susahlah kalau macam itu,” tambahnya.
Untuk meneruskan legasi ini, dia akan kembali bersama kumpulan baharu bernama Prime. Buat masa ini Prime bertindak sebagai band pengiring Joe membuat pertunjukan pentas.
Band ini dianggotai oleh Zul (Vokal), Adi (Keyboard), Rozaimie (Bass) dan Ainol (Drum).
Sepatutnya, jelas Joe, projek sulung Prime bermula pada Mac lalu dengan persembahan di Uncle Chili’s, tetapi disebabkan pandemik Covid- 19, ia terpaksa ditunda pada tarikh lain.
Harapannya, peminat akan terus memberi sokongan kepadanya dan Prime untuk kekal relevan dalam industri muzik tempatan. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya