Jho Low diburu sampai dapat - Utusan Malaysia

Jho Low diburu sampai dapat

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Low Taek Jho atau Jho Low akan diburu sampai dapat.

Itu penegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada Utusan Malaysia yang tidak pernah putus asa untuk mengheret ahli perniagaan tersebut ke muka pengadilan.

Katanya, meskipun Jho Low hidup bebas di negara beliau berlindung, bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ahli perniagaan itu tetap penjenayah selepas disenaraikan dalam individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol) sampai bila-bila.

Menurut beliau, PDRM masih bekerjasama erat dengan semua pihak termasuk negara terlibat dalam mengesan dan berusaha membawa pulang Jho Low.

“Selagi Jho Low hidup, sampai bila pun dia akan menjadi buruan polis.

“Dia boleh bebas hidup di mana sahaja di negara dia berlindung, tetapi sampai bila Jho Low mahu tinggal di sana kerana satu masa nanti, dia pasti akan keluar dan masa itu kita tidak teragak-agak untuk menangkapnya.

“Kesalahan dilakukan Jho Low begitu besar, jangan ingat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dijatuhi hukuman, Jho Low boleh terlepas kerana PDRM melakukan segala usaha untuk memburunya dan kita tidak pernah lupakan dia,” katanya semalam.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mensabitkannya atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan wang RM42 juta miik SRC International Sdn. Bhd.

Dedah Abdul Hamid, lokasi beberapa lagi individu yang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan 1MDB iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Sdn. Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil; peguam 1MDB, Jasmine Loo; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan beberapa lagi individu telah dikesan.

“Kita tahu di mana mereka menyorok. Sebahagian daripada mereka dikesan berada di negara jiran dan Hong Kong.

“Seperti Nik Faisal, kita ada kesan anaknya bersekolah di sebuah sekolah swasta antarabangsa Perancis di Hong Kong. Sama ada betul atau tidak perkara itu, biar negara terbabit sendiri semak,” jelasnya.

Mengenai laporan media sebelum ini yang mendakwa ahli perniagaan tersebut membuat pembedahan wajah dan kini menyerupai beruang, Abdul Hamid memberitahu, pihak berkuasa negara berkenaan memberitahu, berkemungkinan Jho Low sudah membuat pembedahan plastik.

Pembedahan itu menyebabkan Jho Low tidak dapat dikesan sehingga kini.

Jelas Abdul Hamid lagi, beliau sebenarnya hanya berseloroh ketika mengatakan wajah Jho Low telah berubah seperti beruang.

“Tetapi tidak sangka pula media tulis apa yang saya cakap,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya