XIAMEN, China, 28 Mei 2026 /PRNewswire/ — Xiamen Energy Storage Validation Research Institute (ESVL) milik CATL, platform ujian dan pengesahan sehenti terbesar dan paling komprehensif di dunia dalam industri, secara rasmi memulakan operasi pada 28 Mei, menandakan langkah besar industri menuju era pengesahan dunia sebenar.
Merangkumi kawasan seluas 10 hektar dan disokong pelaburan kira-kira RMB3 bilion (sekitar US$440 juta), kemudahan ujian itu direka sebagai infrastruktur terbuka dan dikongsi yang boleh diakses semua penggiat sektor penyimpanan tenaga global.
Keperluan Kritikal untuk Pengesahan Dunia Sebenar
Ketika penyimpanan tenaga berkembang pesat sebagai pemacu utama peralihan tenaga global, industri kini berdepan jurang yang semakin melebar antara kapasiti dipasang dan prestasi dunia sebenar. Hampir satu daripada lima stesen kuasa penyimpanan tenaga berskala besar di seluruh dunia berprestasi di bawah jangkaan, manakala 46.5 peratus sistem penyimpanan tenaga mengalami kelewatan sambungan grid melebihi dua bulan. Dengan keupayaan pengesahan masih banyak tertumpu kepada ujian komponen dan senario, industri semakin memerlukan rangka kerja pengesahan yang lebih berwibawa di peringkat stesen.
Penyimpanan tenaga yang disahkan dunia sebenar dibangunkan berdasarkan keadaan operasi grid paling mencabar. Ia mengalihkan pengesahan daripada ujian peringkat komponen kepada verifikasi sistem penuh dan peringkat stesen, meliputi keselamatan, keupayaan sokongan grid dan kebolehpercayaan jangka panjang sebelum pelaksanaan.
"Ketelitian saintifik kini lebih penting berbanding sebelum ini apabila penyimpanan tenaga memasuki era gigawatt," kata Ketua Saintis CATL, Wu Kai. "Ini bermaksud bersikap telus terhadap prestasi peralatan, menghormati dinamik grid dan berdisiplin terhadap keputusan ujian — sambil meningkatkan standard kualiti industri ke peringkat stesen dan membawa proses pengesahan ke fasa sebelum penghantaran. ESVL direka untuk mencerminkan ketelitian itu dan membantu membuka era pengesahan dunia sebenar yang lebih dipercayai dan mampan."
"ESVL terbuka kepada industri penyimpanan tenaga global dan bekerjasama dengan badan pensijilan terkemuka termasuk TÜV SÜD, TÜV Rheinland, CGC dan CSA untuk menyediakan perkhidmatan satu-ujian, berbilang-saksi yang diiktiraf global," kata Ketua ESVL, Chen Xiaobo "Ketika penyimpanan tenaga semakin menjadi aset infrastruktur kritikal, data pengesahan dunia sebenar ESVL yang bebas dan boleh dijejaki dapat membantu pengawal selia membuat keputusan berasaskan bukti, syarikat insurans menentukan harga risiko dengan lebih tepat dan institusi kewangan menilai penyimpanan tenaga sebagai aset yang lebih diyakini dan berdaya pembiayaan."
Lima Makmal Teras Sediakan Pengesahan Senario Penuh
ESVL dibangunkan berasaskan lima makmal inovatif dan mencatat beberapa pencapaian pertama dunia.
Sambungan grid yang mencerminkan grid dunia sebenar. Makmal penyepaduan grid pertama dunia di peringkat stesen dilengkapi pensimulasi grid 35kV/100MVA dan pensimulasi masa nyata, 14 kali lebih besar berbanding platform 13.8kV/7MVA milik NREL, sekali gus menetapkan penanda aras global baharu bagi ujian peringkat grid. Ia mampu menguji lebih 10 kontena penyimpanan tenaga berskala besar serentak, mensimulasikan topologi grid 1,000 nod dan meliputi julat frekuensi 15 Hz hingga 60 Hz. Ia juga mampu mengesahkan keupayaan pembentukan grid di peringkat stesen dan penyelarasan berbilang unit dalam keadaan grid kompleks, membantu meningkatkan keselamatan pentauliahan dan memendekkan kitaran pentauliahan.
Kegagalan voltan tinggi dijejaki hingga punca utama. Meliputi 1kV hingga 500kV, Makmal Keselamatan Voltan Tinggi mampu membantu menyiasat mekanisme asas kebakaran dan letupan di bawah keadaan voltan tinggi ekstrem, termasuk impuls kilat, ketahanan voltan frekuensi kuasa dan DC serta ujian nyahcas sebahagian. Dengan mengenal pasti sempadan keselamatan komponen utama dan sistem penuh, makmal itu membantu membimbing reka bentuk peralatan ke arah pencegahan kebakaran dan letupan.
Ujian pembakaran terkawal berskala besar. Makmal Keselamatan Terma dan Pembakaran ialah kemudahan pembakaran dalam bangunan berskala besar pertama dunia yang dilengkapi kalorimeter 20MW. Dengan ruang pembakaran dalaman seluas 100,000 meter padu, ia mampu menjalankan ujian letupan terhadap sembilan kontena penyimpanan tenaga besar secara serentak. Ia menyediakan data kritikal untuk menilai jarak keselamatan, perancangan pelaksanaan dan iterasi sistem.
Kebolehpercayaan terbukti dalam iklim ekstrem. Makmal Kebolehpercayaan Persekitaran dilengkapi ruang iklim, persekitaran, semburan garam, hujan dan pasir yang mampu mengesahkan kontena penyimpanan tenaga sistem penuh dalam keadaan ekstrem daripada -50°C hingga 100°C serta persekitaran tekanan altitud tinggi simulasi sehingga 7,200 meter. Ia membantu mengesahkan prestasi jangka panjang dalam haba gurun, tekanan rendah altitud tinggi, semburan garam pesisir pantai dan persekitaran mencabar yang lain.
Ujian EMC dalam keadaan operasi sebenar. Makmal Keserasian Elektromagnet ialah satu-satunya kemudahan dunia yang mampu menampung kontena penuh 40 kaki, dilengkapi cakera putar 65 tan dan bekalan kuasa 5MW, serta mampu menjalankan ujian EMC dalam ruang tak bergema di bawah keadaan pengecasan dan pelepasan kuasa tinggi sebenar. Dengan meniru keadaan operasi sebenar, ia membantu mengenal pasti risiko gangguan elektromagnet sebelum pelaksanaan dan meningkatkan kebolehpercayaan komunikasi serta kawalan.
Rekod Kukuh CATL dalam Projek Dunia Sebenar
Kepimpinan CATL dalam penyimpanan tenaga yang disahkan dunia sebenar dibina berasaskan pengalaman operasi bertahun-tahun. Pada 2016, syarikat mula membangunkan teknologi penyimpanan tenaga bateri litium-ion kelas 100 MWh, yang membawa kepada kejayaan teknologi degradasi sifar jangka panjang pada 2020 dan pelaksanaan stesen penyimpanan tenaga 30 MW/108 MWh di Jinjiang, China.
Sejak itu, CATL memperluas jejak penyimpanan tenaganya di seluruh dunia termasuk projek Quinbrook di Australia dan projek solar-dan-penyimpanan berskala besar di Amerika Utara yang kemudiannya memperoleh pembiayaan semula pada kadar faedah lebih rendah. Pada 2025, jualan bateri penyimpanan tenaga CATL mencapai 121 GWh dengan pegangan pasaran global 30.4 peratus, sekali gus menduduki tempat No.1 dunia selama lima tahun berturut-turut.
Dengan menggabungkan inovasi teknologi berterusan, prestasi projek jangka panjang yang terbukti dan keupayaan pengesahan sistem yang kukuh, CATL kini mentakrif semula rangka kerja kepercayaan baharu untuk industri penyimpanan tenaga global.
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4970094_MS70094_6
















