Robin Zeng: Mulakan Era Tenaga Lestari dengan Teknologi Karbon-Sifar - Utusan Malaysia

PR NEWSWIRE (BM)

Robin Zeng: Mulakan Era Tenaga Lestari dengan Teknologi Karbon-Sifar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NINGDE, China, 5 Februari 2026 /PRNewswire/ — Dr. Robin Zeng, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CATL, menyampaikan ucapan mengenai masa depan tenaga di Sidang Kemuncak Laureat Dunia dan Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai, UAE pada 3 Februari. Teks penuh seperti di bawah:


Sepanjang sejarah manusia, tenaga menjadi daya penggerak di sebalik pertumbuhan tamadun. Setiap lonjakan besar dalam pembangunan insan disertai dengan revolusi tenaga. Hari ini, kita mengalami satu lagi perubahan tenaga revolusioner, iaitu suatu perubahan yang setanding dengan peralihan manusia daripada pemburu-pemungut menjadi masyarakat tani – bermula dengan zaman yang memerlukan kita mengesan dan mengumpul bahan api fosil, hinggalah era yang melaluinya kita boleh menuai tenaga di ladang angin serta solar dan kemudiannya menyimpan tenaga dalam bateri.

Revolusi ini didayakan oleh kemajuan sains dan teknologi yang memberikan penyelesaian praktikal serta mengurangkan kos. Menurut IEA dan BNEF, sepanjang dekad yang lalu, kos bateri LFP dan solar jatuh kira-kira sebanyak 80%. Penyelesaian tenaga lestari turut berkembang daripada tenaga berdaya maju dari segi teknikal kepada tenaga menjadi pilihan yang menarik dari sudut ekonomi.

CATL mengupayakan tenaga boleh baharu untuk mencapai daya saing ekonomi yang sebenar dalam pelbagai aplikasi. Dalam sektor perlombongan, sistem solar-tambah-storan yang dikuasakan oleh CATL telahpun dipasang atur di Chile dan Republik Demokratik Congo bagi membekalkan tenaga elektrik kepada operasi jarak jauh dengan kira-kira satu perempat kos penjana diesel.

Transformasi yang serupa turut dialami dalam aplikasi industri. Di Pakistan, pertumbuhan pesat tenaga solar teragih, digabungkan dengan penyelesaian storan tenaga CATL, menyediakan kuasa yang andal kepada kilang simen tempatan yang seterusnya mengurangkan kos elektrik sebanyak separuh.

Di California, kita dapat menyaksikan gambaran sistem kuasa masa depan pada skala grid. Apabila kapasiti storan bertambah, "keluk itik" yang dihasilkan oleh penembusan tenaga boleh baharu yang tinggi berkurangan dengan ketara. Pada tahun 2025, grid mencatatkan lebih daripada 1,800 jam apabila tenaga bersih memenuhi atau melebihi permintaan elektrik keseluruhan, seterusnya menunjukkan apa yang mungkin dicapai apabila tenaga boleh baharu dan storan berkembang bersama-sama.

Perkembangan ini menunjukkan realiti yang lebih luas: di banyak kawasan, tenaga bersih diterima pakai bukan sahaja untuk matlamat iklim, tetapi juga kerana kemajuan teknologi menjadikannya pilihan yang paling berdaya maju secara komersial.

Kita sedang mengalami perubahan yang besar menuju era tenaga sifar bersih. Pada pendapat saya, sistem tenaga pada masa akan datang boleh ditakrifkan dengan tiga perkataan: teragih, pintar, kitaran.

Pertama, sistem kuasa teragih, yang melibatkan penjanaan tenaga boleh baharu dan storan bateri canggih, akan berkembang pesat di serata dunia, terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai infrastruktur grid yang lemah. Ini akan dapat menggantikan banyak tenaga bahan api fosil, yang bertumpu dan banyak bergantung pada loji janakuasa berskala besar dan grid yang kukuh.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar tenaga boleh baharu memperkenalkan cabaran baharu kepada operasi sistem kuasa yang stabil. Bagi menangani cabaran berkenaan, CATL membangunkan teknologi storan tenaga pembentukan grid voltan tinggi yang inovatif yang boleh bertindak sebagai penstabil untuk sistem tenaga karbon sifar. Ia dapat menyediakan pengawalaturan frekuensi grid, pampasan kuasa reaktif, kawalan peredam dan sokongan inersia sistem. Ia turut menawarkan keupayaan permulaan gelap yang sangat baik, yang merupakan aspek yang amat penting dalam kes bekalan elektrik terputus yang berskala besar, seperti yang melanda Sepanyol tahun lalu.

Teknologi ini disahkan dengan jayanya dalam bidang kejuruteraan dan di China kami mengaplikasikan teknologi ini untuk membangunkan taman industri luar grid yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga angin, solar dan storan bagi membekalkan tenaga kepada kilang bateri 40GWj. Ia memperlihatkan sejauh mana teknologi tenaga termaju dapat mencipta sistem kuasa sifar bersih.

Selain diagihkan, sistem tenaga pada masa akan datang bakal menjadi lebih pintar. Ia akan dapat mengendalikan sejumlah besar data dan mencapai penyesuaian dengan turun naik yang berlaku dalam penjanaan dan penggunaan kuasa boleh baharu. Penjadualan dan pengoptimuman pacuan AI yang canggih diperlukan untuk mengimbangi bekalan dan permintaan tenaga. Sebagai contoh, kami menggunakan AI untuk meningkatkan pengurusan sistem tenaga bagi Pusat Data AI SenseTime di Shanghai dan membantu mengurus permintaan tenaga yang berubah-ubah dalam tugas pengkomputeran.

Ketiga, ekonomi kitaran memainkan peranan yang amat penting bagi mencapai tenaga karbon sifar. Tidak seperti bahan api fosil yang dibakar semasa digunakan, bahan-bahan untuk sistem tenaga karbon sifar boleh dikitar semula. CATL berada di barisan hadapan dalam usaha ini dan kami telahpun mencapai kadar pemulihan tertinggi dalam industri ini—99.6% untuk nikel dan kobalt serta 96.5% untuk litium. Bagi membina bekalan bahan mentah kritikal yang stabil dan mampan, kami turut bekerjasama erat dengan NGO dan rakan industri bagi menggalakkan ekonomi kitaran dalam sektor ini.

Didorong oleh kemajuan yang berterusan dalam teknologi karbon sifar, era tenaga lestari bukan lagi suatu visi berpandangan jauh — ia semakin menghampiri dengan begitu pantas. Pada hemat saya, tahun 2030 akan menandakan permulaan sebenar bagi era tenaga lestari.

Bagaimanakah kita boleh sampai ke sana? Jawapan saya ialah: sains menunjukkan kepada kita apa yang mungkin dicapai, namun kejuruteraan dan pembuatan menentukan seberapa pantas kita sampai ke sana.

Sains asas tetap menjadi sumber transformasi ulung. Penemuan baharu dalam sains bahan, kecerdasan buatan dan sistem tenaga baharu akan terus membentuk wajah masa depan. Sejujurnya, dengan teknologi pada hari ini, kita mungkin telah menyelesaikan kurang 30% daripada apa yang diperlukan oleh sistem tenaga lestari sepenuhnya. Banyak teknologi disruptif masih belum muncul dan banyak penyelidikan asas masih lagi dinantikan pada masa akan datang.

Agar teknologi benar-benar mengubah dunia, ia harus maju melangkaui makmal dan digunakan secara besar-besaran. Hari ini, kami telahpun mencapai kemajuan saintifik dan teknologi dalam bidang-bidang perbatasan seperti bateri terkondensasi, bateri keadaan pepejal dan bateri solar perovskit. Namun begitu, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meluaskan inovasi ini daripada makmal ke pasaran. Atas sebab inilah kami melabur dengan begitu banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) – lebih banyak daripada semua penggiat lain dalam industri ini apabila digabungkan.

Walaupun memerangi pemanasan global nampaknya menjadi isu iklim, ia pada asasnya merupakan isu tenaga dan pada dasarnya juga merupakan isu pembangunan. Kami percaya kerjasama antarabangsa merupakan cara yang paling cekap untuk menanganinya dan kami bersedia untuk berkongsi teknologi dan pengalaman bateri bersama dunia. Kami berkembang daripada mengeksport bateri pada peringkat awalnya, kepada "pengeluaran tempatan, untuk pasaran tempatan" pada masa ini. Kami turut melesenkan teknologi kepada rakan kongsi kami untuk membantu mereka membina kilang bateri mereka sendiri.

Bagi mempercepat peralihan menuju era tenaga lestari, kita perlu meningkatkan skala teknologi tenaga termaju dengan cara yang lebih cekap dan berpatutan pada peringkat global. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah pasaran, berdasarkan pengalaman kami, peraturan bangunan dan peralatan menjadi punca kos pengeluaran yang lebih tinggi. Saya ingin mencadangkan satu penyelesaian: mewujudkan zon ekonomi khas yang menerima pakai peraturan bangunan dan peralatan yang serupa yang diamalkan di China. Ini akan dapat meningkatkan skala produktiviti dengan pantas, kerana ia telah terbukti berjaya di China.

Tuan-tuan dan puan-puan, satu kajian terkini oleh Columbia University mengunjurkan peningkatan suhu sebanyak 1.7 darjah C melebihi paras praindustri pada tahun 2027. Bagi menangani isu pemanasan global, kita perlu mengambil tindakan segera bagi membina sistem tenaga yang lestari. Ini memerlukan kemajuan teknologi, keberanian dan juga kebijaksanaan.

Sebagai perintis bagi peralihan tenaga, CATL bersedia untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama komuniti saintifik, kerajaan, perniagaan dan sesiapa sahaja yang komited terhadap misi ini. Ayuhlah kita saling bekerjasama dalam menuju masa depan tenaga sifar bersih dan mewariskan Bumi yang sihat dan hijau untuk generasi-generasi akan datang.

SenseTime’s AI Data Center in Shanghai
SenseTime’s AI Data Center in Shanghai

 

Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4878709_MS78709_6

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

TERKINI