UniSon cipta rekod sebagai pengeluar bumbung terpanjang

UniSon cipta rekod sebagai pengeluar bumbung terpanjang

UNITED Seasons Sdn. Bhd. diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records kerana mencapai Kepingan Bumbung Terpanjang iaitu 166.49 meter yang dipasang di Hab Rantaian Bekalan YLL di Sungai Buaya, Rawang, Selangor. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: United Seasons Sdn. Bhd. (UniSon) mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pengeluar Kepingan Bumbung Terpanjang iaitu 166.49 meter yang dipasang di Hab Rantaian Bekalan YLL iaitu sebuah fasiliti logistik dan rantaian bekalan bertaraf tinggi di Rawang, Selangor.

Secara amnya, bumbung bersaiz panjang dipasang menggunakan beberapa kepingan, tetapi projek ini menghasilkan bumbung sepenuhnya menggunakan satu keping tanpa sebarang sambungan.

Rekod ini dicapai menggunakan Sistem Bumbung Standing Seam KAWA KZ400 atau Sistem Bumbung Jahitan Tegak yang diperbuat daripada keluli COLORBOND®️ oleh NS BlueScope Malaysia.

Projek bumbung sepanjang 166.49 meter ini mengambil kira pelbagai aspek teknikal termasuk cuaca dan perubahan iklim di Malaysia bagi memastikan keselamatan dan ketahanan.

Air hujan dan cahaya matahari merupakan musuh utama bagi pemasangan bumbung, di mana intensiti hujan meningkat hampir 30 peratus dalam tempoh 10 tahun terakhir iaitu daripada 250 milimeter (mm) sejam kepada 350 hingga 400 mm sejam.

Sistem bumbung ini direka untuk menampung jumlah air yang tinggi sepanjang kepingan bumbung yang panjang sebelum air dialirkan keluar sepenuhnya.

SMP Dhanabalan

Pengarah Urusan UniSon, SMP Dhanabalan berkata, pencapaian ini merupakan kejayaan penting bagi industri pembinaan Malaysia, sekali gus menunjukkan kerjasama erat, kemampuan teknikal dan inovasi dalam pemasangan bumbung berskala besar.

Beliau berkata, UniSon merupakan syarikat tempatan di Malaysia yang pakar dalam pemasangan bumbung bangunan melalui sistem concealed fixing atau pemasangan secara tersembunyi serta ciri-ciri KAWA R650 Lockseam bagi mengelakkan risiko angin kencang dan hujan lebat.

Katanya, setiap sambungan bahagian sisi bumbung dikunci dan dijahit menggunakan penyambung robotik revolusioner bagi memastikan bumbung lebih tahan lama dan selamat daripada angin kencang dan air hujan.

“Bahan lain seperti aluminium, kuprum, keluli tahan karat dan titanium juga boleh dipasang. Sehingga kini, kira-kira 450 juta kaki persegi produk KAWA berjaya dipasang di seluruh negara.

“Kesemua produk rangkaian KAWA boleh dipasang di tapak bagi memaksimumkan manfaat bumbung bersaiz panjang dan dibina menggunakan keluli bersalut khas iaitu ZINCALUME®️ serta lapisan warna menarik seperti COLORBOND®️, VERMOE®️ dan PRIMA MAJU®️,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records semalam.

Menurut Dhanabalan, pencapaian itu juga disumbang melalui kepingan bumbung yang dipasang terus di aras bumbung bagi memastikan ketepatan, kecekapan, kualiti pemasangan serta meminimumkan risiko kerosakan.

Katanya, pendekatan itu mencerminkan kemampuan teknikal yang kukuh terutama dalam pemasangan bumbung serta kerjasama semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan projek itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Projek UniSon, Zaidi Semail berkata, bumbung ini turut direka untuk menahan risiko angin kencang dengan jarak pemasangan skru dan pitch dikira secara teliti bagi mengelak bumbung tercabut.

Katanya, kelebihan bumbung satu keping adalah aliran air lebih teratur dan tiada air tersekat di tengah-tengah bumbung, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan peralatan sensitif di bawah bumbung.

“Kos pelaburan tambahan untuk bumbung satu keping lebih berbaloi berbanding risiko kerosakan peralatan dan kos penyelenggaraan jangka panjang terutama untuk pusat data dan kilang elektronik semikonduktor.

“Kerjasama dengan NS BlueScope Malaysia menyediakan keluli COLORBOND®️ dengan jaminan bertulis sehingga 30 tahun dapat memastikan ketahanan bahan asas manakala lapisan warna boleh diselenggara untuk perlindungan tambahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN