PORT DICKSON: Semangat mahu menyokong persatuan komuniti setempat mendorong penduduk di Pekan Pengkalan Kempas di sini, menghias kediaman masing-masing sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana pekan kecil itu berubah wajah sejak awal bulan ini apabila tanglung merah, kaligrafi Cina serta pelbagai hiasan tradisional digantung di hadapan rumah dan premis perniagaan.
Kemeriahan itu bukan sahaja menceriakan sambutan perayaan, malah menarik kehadiran pengunjung luar yang singgah untuk bergambar dan menikmati suasana unik perkampungan berkenaan.
Penduduk, Lee Kok Heng, 58, berkata, dia memperuntukkan kira-kira RM500 setiap tahun bagi menukar tanglung dan menambah hiasan baharu.
“Saya masih gunakan hiasan lama, cuma tambah yang baharu supaya lebih meriah, terutama apabila keluarga besar berkumpul di rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Kok Heng berkata, kebanyakan dekorasi direka sendiri sebelum mengupah pekerja memasang mengikut konsep dirancang.
Dia yang juga Bendahari Persatuan Pelancongan Pengkalan Kempas Negeri Sembilan berkata, usaha itu selari dengan inisiatif persatuan untuk menjadikan pekan berkenaan sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti.
Seorang lagi penduduk, Tiong Wong Hing, 62, berkata, hiasan rumah bukan sekadar menyambut perayaan, sebaliknya usaha menghidupkan nilai budaya dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Saya suka suasana pekan ini yang tenang. Menghias rumah juga tanda sokongan untuk menghidupkan semula pekan ini,” katanya.
Wong Hing berkata, kediaman yang dibeli empat tahun lalu itu dibaik pulih dengan kos melebihi RM200,000 termasuk mencantikkan landskap serta menghasilkan mural pada dinding yang kini menjadi tarikan pengunjung.
Dia turut membelanjakan RM200 setahun bagi kerja mengecat dan menggantikan tanglung baharu demi memastikan suasana sentiasa segar dan menarik. – UTUSAN










