Kuih bakul air tangan Rosidah digemari pelbagai kaum - Utusan Malaysia

Kuih bakul air tangan Rosidah digemari pelbagai kaum

ROSIDAH Muda menunjukkan kuih bakul buatannya di Kampung Pelam, Kuala Telemong, Terengganu. - PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Bermula dengan minat terhadap kuih tradisional, seorang wanita Melayu dari Kampung Pelam, Kuala Telemong di sini tidak menyangka kuih bakul air tangannya menjadi kegemaran pelbagai kaum.

Dalam masyarakat Cina, kuih bakul melambangkan kemakmuran dan kesejahteraan, sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Rosidah Muda, 52, berkata, dia mengolah semula resipi kuih bakul dengan menggunakan sukatan bahan lebih seimbang tanpa menjejaskan keaslian rasanya.

“Kawan-kawan saya suka makan kuih bakul tetapi sukar hendak dapatkan kuih bakul yang dibuat oleh orang Melayu.

“Jadi saya cuba buat dan olah resipi sendiri. Alhamdulillah ia menepati selera kawan-kawan. Daripada situ, saya mula terima tempahan kuih bakul dari merata-rata tempat terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rosidah berkata, untuk Tahun Baharu Cina kali ini, dia menerima tempahan kira-kira 5,000 biji termasuk dari luar Terengganu yang mengetahui kuih bakulnya daripada media sosial.

Dia dibantu dua anaknya, Nor Qayyimah Haziqah Halim, 26, dan Ahmad Qayyim Imadudin Halim dengan harga RM10 sebiji.

“Saya mempunyai ramai pelanggan tetap sejak 10 tahun mengusahakan. Saya anggap pengalaman menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional sebelum ini menjadi kelebihan dalam menghasilkan kuih bakul yang bertekstur lembut serta tidak terlalu manis, menjadikannya sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Rosidah berkata, selain dimakan begitu sahaja, ia boleh diolah dalam pelbagai menu seperti digoreng bersama ubi keledek, lantas memberikan variasi rasa lebih menarik dan menepati cita rasa tempatan.

“Jika bukan musim perayaan, saya terima tempahan minimum lima biji ke atas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN