SUDAH lebih sedekad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dilaksanakan, menyaksikan pelbagai pencapaian signifikan dalam landskap pendidikan negara. Akses pendidikan semakin meluas, jurang pencapaian berjaya dirapatkan dan usaha memperkukuh perpaduan nasional terus diperkasa. Namun, kemunculan cabaran baharu, khususnya kesan pascapandemik, menuntut pendekatan yang lebih segar, dinamik dan berpandangan jauh.
Seiring itu, pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 – 2035 menandakan kesediaan Malaysia melangkah ke dekad seterusnya dengan satu lonjakan besar. Rancangan pendidikan baharu ini bukan sekadar kesinambungan dasar terdahulu, sebaliknya dirangka bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal berkaitan, inklusif dan berdaya saing pada peringkat global.
Berteraskan lima tumpuan utama iaitu mutu, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan, rancangan ini mengangkat pendidikan sebagai nadi baharu negara. Pendidikan tidak lagi tertumpu semata-mata kepada peperiksaan, sebaliknya berperanan melahirkan insan sejahtera yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan.
Pendekatan inklusif, berpaksikan perpaduan
RPM 2026 – 2035 dibangunkan berasaskan pelibatan luas pihak berkepentingan. Kementerian Pendidikan (KPM) telah menjalankan pelbagai sesi perbincangan di seluruh negara melibatkan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat awam.
Sebanyak 31,106 input diterima hasil penglibatan 2,134 guru; 1,246 murid dan 1,463 orang awam, selain diskusi kumpulan berfokus yang melibatkan 33 agensi luar, 94 pensyarah universiti awam, sembilan pensyarah universiti swasta serta 120 pegawai KPM. Setiap pandangan diambil kira bagi memastikan rancangan ini dirangka secara menyeluruh dan terangkum.
Prinsip asas RPM 2026 – 2035 ialah menjunjung perpaduan sebagai teras, berlandaskan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tanpa mengira latar belakang murid, agama atau status sosioekonomi.

Lima Tumpuan, Lima Ciri-ciri Murid Malaysia
Lima tumpuan utama rancangan ini ialah Mutu; Akses dan Ekuiti; Ketersediaan Sumber dan Kecekapan; Keluwesan dan Kemampanan. Ia merupakan asas masa depan pendidikan Malaysia yang mencerminkan kepercayaan kita bahawa pendidikan bukan hanya memupuk individu yang berkebolehan tetapi juga membentuk Malaysia yang lebih adil dan bersatu padu.
Dalam masa sama, RPM ini berpandukan lima atribut murid Malaysia, iaitu beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan, hasil sistem pendidikan yang bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi turut menerapkan nilai murni untuk mencorakkan generasi masa depan.
Tujuh Teras Strategik Pendidikan, Lima Aspirasi menyeluruh
RPM 2026 – 2035 digerakkan melalui tujuh teras strategik melibatkan sistem pendidikan; murid; pendidik; prasarana fizikal dan digital; sinergi; kemampanan serta tadbir urus, bagi merapatkan jurang sedia ada dan meningkatkan mutu pendidikan secara menyeluruh.
Lima Aspirasi yang digariskan pula melibatkan semua pihak berkepentingan pendidikan melalui aspirasi Murid, Pendidik, Institusi Pendidikan KPM, pelibatan Ibu bapa dan Komuniti serta Industri.
Bagi Aspirasi Murid, aspirasi utama ini merangkumi pendidikan bermutu melalui pendidikan wajib prasekolah, pengukuhan literasi dan numerasi, pembelajaran diperibadikan berasaskan AI menerusi DELIMa, penguasaan kemahiran masa depan, sokongan kesejahteraan mental dan sosial, kelebihan pelbagai bahasa serta amalan kemampanan melalui Makmal Aktif Lestari (MAL).
Bagi Aspirasi Pendidik, tumpuan diberikan kepada tumpuan semula peranan guru dengan sasaran 80 peratus masa untuk pengajaran dan pembelajaran, latihan berasaskan kompetensi, pembelajaran fleksibel, penyelidikan dan inovasi, serta penggunaan peralatan dikuasakan AI bagi meningkatkan keberkesanan PdP.
Institusi pendidikan KPM pula diperkasa melalui autonomi terpimpin, pembangunan prasarana strategik dan inklusif, serta tadbir urus digital berasaskan data masa nyata.
Sinergi Ibu Bapa, Komuniti dan Industri amat penting dan peranan pihak menyeluruh ini diperkukuh melalui komunikasi berkesan, kerjasama yang lebih mantap dan pelibatan langsung dalam pembudayaan kemampanan. Industri pula berperanan memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja masa depan, khususnya dalam bidang STEM dan TVET, selain menyediakan platform sehenti bagi penyelarasan sokongan industri dan tanggungjawab sosial korporat.
Menuju pendidikan yang terangkum dan dinamik
Secara keseluruhan, RPM 2026 – 2035 dirangka bagi memastikan sistem pendidikan Malaysia kekal inklusif, dinamik dan relevan, dengan peluang saksama kepada semua murid. Potensi setiap murid dioptimumkan melalui pengalaman pembelajaran bermakna untuk membentuk warganegara global yang bersedia mencorakkan masa depan negara.
Berpaksikan nilai sedia ada dan direka untuk menghadapi cabaran masa depan, RPM menjadi wadah strategik dalam membina Malaysia yang berilmu, berdaya tahan dan bersatu padu menjelang dekad baharu pendidikan negara. – UTUSAN










