PETALING JAYA: Pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam dijangka memberi manfaat kepada sehingga 10 juta pekerja, selain menjimatkan kira-kira RM600 juta dalam perbelanjaan perubatan dan kebajikan awam pada tahun pertama pelaksanaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd. Khalib berkata, langkah itu merupakan satu pembaharuan besar dalam sistem perlindungan sosial negara dan bakal memberi impak langsung kepada jutaan pekerja Malaysia.
Katanya, kelulusan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang memperkenalkan Skim Lindung 24 Jam menandakan satu detik bersejarah kerana ia akhirnya melindungi pekerja di luar waktu bekerja tradisional.
“Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa langkah ini bukan sahaja membawa perubahan besar, malah merupakan detik bersejarah kepada para pekerja di Malaysia. Ia akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, lebih 26,000 tuntutan kemalangan telah ditolak kerana berada di luar takrif sempit ‘kemalangan tempat kerja’, menyebabkan pekerja dan keluarga mereka tidak menerima perlindungan pendapatan atau sokongan,” katanya.

Menurut Azrul, Skim itu akan memberi ruang baharu kepada pekerja untuk mendapat sokongan sewajarnya pada saat paling mencabar dalam kehidupan mereka, selain mengurangkan tekanan jangka panjang kepada sistem kesihatan awam.
“Dengan sedikit peningkatan caruman, pekerja kini lebih yakin kerana mereka dan keluarga tidak akan terdedah tanpa perlindungan sebaik sahaja keluar dari kilang, pejabat atau premis kerja. Ini situasi menang-menang kepada pekerja dan majikan,” katanya.
Beliau berkata, angka berkaitan manfaat skim itu bukan sekadar statistik, tetapi menggambarkan realiti kehidupan rakyat yang sebelum ini terdedah kepada risiko kemalangan di luar waktu kerja.
“Dengan adanya skim ini, lebih sedikit keluarga yang akan jatuh dalam kesusahan hanya kerana kemalangan berlaku selepas waktu pejabat atau tersasar sedikit daripada laluan pulang yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, skim tersebut perlu dilihat sebagai permulaan kepada reformasi lebih besar dalam perlindungan sosial pekerja, ke arah membentuk masyarakat lebih adil, berdaya tahan dan produktif.
Beliau berkata, Skim Kecederaan Bukan Berhubung Kerja (SKBBK) akan menyediakan perlindungan menyeluruh termasuk kemalangan ketika perjalanan harian, hari rehat, cuti umum, serta perjalanan harian. – UTUSAN










