Hanya 10 peratus orang bekerja sendiri mencarum skim Lindung Kendiri

Hanya 10 peratus orang bekerja sendiri mencarum skim Lindung Kendiri

MOHAMMED Azman Aziz Mohammed (dua dari kanan) dan A. Rajendran (dua dari kiri) ketika majlis penyerahan dokumen MoU antara Perkeso dan MBPP di Pejabat Perkeso Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Hanya kira-kira 10 peratus atau 325,008 daripada 3.26 juta individu bekerja sendiri di Malaysia mempunyai caruman aktif di bawah Skim Lindung Kendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 23 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, situasi itu menuntut kerjasama rentas agensi bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi golongan rentan termasuk peniaga dan penjaja kecil.

Menurut beliau, statistik semasa turut merekodkan, seramai 15,021 Orang Bekerja Sendiri (OBS) berdaftar di Pulau Pinang, sekali gus menunjukkan masih banyak ruang untuk meningkatkan penyertaan dalam skim perlindungan sosial berkenaan.

“Daripada jumlah itu, sektor penjaja di Pulau Pinang menyumbang 13.17 peratus atau 5,053 OBS daripada keseluruhan penjaja yang mencarum di seluruh negara.

“Justeru, menyedari keperluan kritikal ini, Perkeso hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial khususnya dalam sektor penjaja dan peniaga kecil.

“Pemeteraian MoU ini diharap menjadi dasar sama kepada 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk memperkasa ekonomi informal,” katanya pada majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran.

Mohammed Azman berkata, caruman Lindung Kendiri tidak wajar dilihat sebagai beban kewangan sebaliknya merupakan pelaburan keselamatan yang menjadi talian hayat sekiranya pencarum ditimpa musibah.

Katanya, sepanjang tahun lalu sahaja, Perkeso menyalurkan faedah berjumlah RM31.25 juta kepada 7,693 pencarum Skim Lindung Kendiri di seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 424 individu bekerja sendiri di Pulau Pinang menerima manfaat perlindungan tersebut ketika berdepan insiden tidak diingini.

Tambah beliau, kerajaan melalui Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) kini turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan capaian dan kesedaran berkaitan kepentingan perlindungan sosial. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN