Mampukah Skim Lindung 24/7 bela kebajikan pekerja?

Mampukah Skim Lindung 24/7 bela kebajikan pekerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 di Parlimen menandakan satu anjakan besar dalam landskap perlindungan sosial negara.

Antara pembaharuan paling signifikan ialah pengenalan Skim Lindung 24/7, iaitu skim perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja.

Skim ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di Malaysia dan akan mula dilaksanakan seawal suku kedua atau ketiga tahun ini.

Dalam konteks kos sara hidup yang semakin meningkat serta jurang perlindungan insurans yang ketara, Skim Lindung 24/7 wajar dilihat sebagai salah satu mekanisme keselamatan sosial yang kritikal, khususnya untuk melindungi golongan pekerja berpendapatan rendah yang tidak berupaya memiliki perlindungan insurans persendirian.

SKIM Lindung 24/7 diperkenalkan khususnya untuk melindungi golongan pekerja berpendapatan rendah yang tidak berupaya memiliki perlindungan insurans persendirian.

Sebelum pindaan ini, perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) lazimnya terhad kepada kemalangan yang berlaku semasa menjalankan tugas atau dalam perjalanan berkaitan kerja.

Realitinya, risiko kemalangan dan kecederaan tidak mengenal waktu. Pekerja terdedah kepada risiko ketika berulang-alik, menjalankan aktiviti harian, melakukan kerja sambilan tidak formal, mahupun ketika aktiviti kemasyarakatan.

Apabila kemalangan berlaku di luar waktu kerja, ribuan keluarga terpaksa menanggung kos rawatan, pemulihan, kehilangan pendapatan, dan dalam kes lebih tragis, kehilangan pencari nafkah utama.

Golongan B40 dan M40 rendah adalah yang paling terkesan. Dengan pendapatan yang terhad, mereka sering tidak mampu membeli insurans hayat atau insurans kemalangan peribadi.

Malah, sebahagian pekerja hanya bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak direka untuk menampung kos rawatan kecemasan atau pemulihan jangka panjang.

Dalam situasi ini, Skim Lindung 24/7 hadir sebagai satu instrumen keselamatan sosial negara bagi menutup jurang perlindungan sosial yang sekian lama wujud.

Skim Lindung 24/7 memperluas konsep keselamatan sosial daripada sekadar perlindungan pekerjaan kepada perlindungan kehidupan pekerja secara lebih holistik.

Skim ini mengiktiraf hakikat bahawa pekerja adalah manusia yang menjalani kehidupan di luar tempat kerja dan menyumbang kepada ekonomi serta masyarakat dalam pelbagai peranan.

Dari sudut perlindungan sejagat bersasar, skim ini memperluaskan konsep keselamatan sosial dengan memastikan pekerja formal dilindungi bukan sahaja ketika menjalankan tugas, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

Walaupun pelaksanaannya tertumpu kepada pekerja formal, manfaatnya paling ketara kepada golongan berpendapatan rendah yang sebelum ini berada di luar liputan insurans komersial akibat kekangan kewangan.

Dalam konteks ini, Skim Lindung 24/7 akan berfungsi sebagai satu bentuk “insurans sosial negara” yang berasaskan prinsip solidariti, di mana risiko dikongsi secara kolektif dan perlindungan tidak bergantung kepada kemampuan individu untuk membeli insurans persendirian.

Selain itu, skim ini memainkan peranan penting dalam mencegah kemiskinan akibat risiko sosial, terutamanya kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja.

Dalam banyak kes, kejadian tidak dijangka seperti kemalangan atau kecederaan serius boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan, peningkatan kos rawatan, dan beban kewangan jangka panjang kepada isi rumah pekerja.

Tanpa perlindungan sosial yang memadai, keadaan ini sering mencetuskan fenomena kemiskinan baharu atau shock-induced poverty.

Dengan menanggung kos rawatan dan pemulihan, Skim Lindung 24/7 membantu mengekalkan kestabilan ekonomi keluarga pekerja serta mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam kitaran hutang dan kemiskinan yang sukar diputuskan.

Seterusnya skim ini turut dilihat bagi pemerkasaan produktiviti dan kesejahteraan pekerja. Perlindungan menyeluruh yang ditawarkan oleh Skim Lindung 24/7 bukan sahaja memberi manfaat fizikal, tetapi juga meningkatkan kesejahteraan mental pekerja.

Rasa selamat dan dilindungi mengurangkan kebimbangan terhadap risiko kewangan sekiranya berlaku kemalangan, sekali gus membolehkan pekerja menumpukan perhatian kepada prestasi kerja dan kehidupan seharian.

Dalam jangka panjang, keadaan ini menyumbang kepada peningkatan produktiviti, komitmen dan kesetiaan pekerja terhadap majikan, serta memperkukuh daya saing tenaga kerja negara secara keseluruhan.

Walaupun niat dan dasar adalah progresif, pelaksanaan Skim Lindung 24/7 tidak terlepas daripada cabaran.

Antaranya ialah kefahaman pekerja terhadap skop perlindungan, isu pembiayaan jangka panjang, kebarangkalian tuntutan palsu, serta keperluan penyelarasan dengan skim sedia ada seperti insurans majikan dan perlindungan kesihatan awam.

Jika tidak direncana dengan teliti, skim ini berisiko menimbulkan kekeliruan, beban pentadbiran, atau persepsi negatif dalam kalangan majikan dan pencarum.

Bagi memastikan Skim Lindung 24/7 benar-benar mencapai objektif perlindungan secara menyeluruh kepada pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah, pelaksanaan skim ini perlu disokong oleh beberapa intervensi kerajaan yang bersifat strategik dan bersepadu.

Pertama, kempen literasi keselamatan sosial berskala nasional amat penting bagi meningkatkan tahap kefahaman pekerja, terutamanya dalam kalangan B40, mengenai hak, manfaat dan prosedur tuntutan di bawah skim ini.

Tanpa pengetahuan yang mencukupi, perlindungan yang disediakan berisiko tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Oleh itu, penglibatan majikan, kesatuan sekerja, platform digital serta komuniti setempat perlu digerakkan secara serentak.

Kedua, pendekatan subsidi bersasar wajar dilaksanakan bagi mengelakkan beban kewangan tambahan kepada pekerja dan majikan dalam sektor bergaji rendah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sokongan fiskal kerajaan dapat memastikan kadar caruman kekal mampan tanpa menjejaskan daya saing pasaran buruh.

Ketiga, integrasi data dan digitalisasi sistem tuntutan perlu diperkasakan melalui penyelarasan antara Perkeso, fasiliti kesihatan dan agensi berkaitan bagi menjamin kecekapan, ketelusan serta mengurangkan risiko penipuan.

Penyelarasan dengan skim perlindungan sedia ada penting bagi mengelakkan pertindihan manfaat dan pembaziran sumber awam.

Akhir sekali, pemantauan dan penilaian berterusan berasaskan bukti perlu diwujudkan agar impak sebenar Skim Lindung 24/7 terhadap kesejahteraan pekerja dapat dinilai dan ditambah baik secara berterusan.

Skim Lindung 24/7 bukan sekadar satu pembaharuan teknikal dalam undang-undang keselamatan sosial, tetapi satu manifestasi komitmen negara untuk melindungi maruah dan kesejahteraan pekerja.

Dalam keadaan di mana sebahagian besar pekerja berpendapatan rendah tidak mampu memiliki insurans persendirian, skim ini menjadi benteng terakhir yang menghalang mereka daripada terdedah kepada risiko kewangan akibat kemalangan.

Dengan perancangan yang teliti, intervensi kerajaan yang bersasar, serta kerjasama semua pihak termasuk majikan dan pekerja, Skim Lindung24/7 berpotensi menjadi tonggak utama sistem keselamatan sosial Malaysia yang lebih inklusif, adil dan berdaya tahan.

Ia bukan sahaja melindungi pekerja hari ini, malah membina asas kesejahteraan sosial negara untuk generasi akan datang. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN