LENGGONG: Kampung Bukit Sapi di sini menerima limpahan manfaat pembangunan infrastruktur bernilai RM1.1 juta selepas dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar berkata, sebanyak 10 projek fizikal berjaya disiapkan di kampung tersebut sejak pelaksanaannya bermula pada Januari lalu.
Menurut beliau, projek berkenaan membabitkan naik taraf sekolah agama, titi sungai, klinik desa, jalan ladang, masjid, surau, dewan orang ramai, pemasangan lampu jalan solar serta infrastruktur sekolah.
Katanya, tiga projek bukan fizikal pula merangkumi gotong-royong keceriaan kampung, pelaksanaan Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile dan program motivasi pelajar.
“Selain dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI, KKDW turut menamakan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sapi sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan berjumlah RM100,000.
“Antara projek yang dilaksanakan di sekolah berkenaan ialah menaik taraf padang, pembinaan astaka serta meroboh dan membina wakaf baru bagi kegunaan tempat solat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kenduri Rakyat Desa MADANI 2025 sempena program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di padang SK Bukit Sapi, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, keseluruhan projek yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta itu telah disiapkan sepenuhnya dengan keseluruhan peruntukan telah dibelanjakan sehingga 30 November 2025.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu bertujuan menambah baik kemudahan asas, menyokong pembangunan pendidikan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
“Sebagai sebahagian usaha menggalakkan penggunaan tenaga mesra alam, KKDW turut melaksanakan Program Rintis Lampu Solar secara gotong-royong dengan penglibatan pelajar dan sukarelawan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Sebanyak 30 unit lampu solar telah dipasang dengan kos berjumlah RM40,000. Selain itu, KKDW juga melaksanakan Program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI) bagi meningkatkan tahap keselamatan elektrik kediaman golongan B40.
“Sebanyak 25 buah rumah telah diselenggara secara berperingkat dengan kos RM40,000, di samping memberi peluang kepada pelatih TVET GIATMARA menjalani latihan kemahiran sebenar di lapangan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan program secara bersepadu itu mencerminkan komitmen KKDW dalam memperkukuh kerjasama komuniti dan memastikan inisiatif pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
Katanya, usaha-usaha sebegini perlu diteruskan supaya infrastruktur asas di kawasan-kawasan kampung, khususnya di luar bandar tidak jauh ketinggalan berbanding dengan kawasan bandar.
“Selain itu, kita juga ingin membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan belia di luar bandar kerana, seperti yang sedia maklum, ramai penduduk kini telah berhijrah ke bandar.
“Kita mahu memastikan penghijrahan tersebut tidak berlaku secara menyeluruh dari luar bandar ke bandar.
“Sehubungan itu, penyediaan kemudahan infrastruktur bukan sahaja penting untuk belia di luar bandar, malah peluang pembangunan sosioekonomi, pendidikan serta latihan kemahiran juga perlu disediakan untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Sapi, Afandi Hassan merakamkan penghargaan kepada KKDW atas pelbagai bantuan dan peruntukan yang disalurkan kepada kampung berkenaan.
Katanya, sebelum ini Kampung Bukit Sapi sering dianggap sebagai kawasan pedalaman yang terpinggir, namun situasi itu berubah selepas pelaksanaan pelbagai projek pembangunan oleh KKDW.
“Apabila KKDW mula membangunkan kampung ini, kami berasa amat bersyukur. Bantuan dan peruntukan yang diterima bukan sahaja banyak, malah memberi manfaat besar kepada penduduk di sini,” katanya.
Menurut beliau, antara perubahan paling ketara yang dapat dilihat di kampung itu adalah dari segi kemudahan infrastruktur, khususnya pembinaan dan penambahbaikan jalan pertanian yang kini jauh lebih baik selepas pelaksanaan projek oleh KKDW.
Katanya, penambahbaikan tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah memudahkan pergerakan serta urusan harian penduduk kampung.
“Selain itu, pemasangan lampu solar di beberapa kawasan turut membawa perubahan besar, memandangkan sebelum ini Kampung Bukit Sapi sering bergelap pada waktu malam sehingga meningkatkan risiko kemalangan dan kejadian tidak diingini.
“Alhamdulillah, selepas pemasangan lampu solar, kampung kami kini lebih terang. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan, malah membantu mengurangkan risiko kemalangan dan kes kecurian,” katanya. – UTUSAN










