MyProjek pantau kemajuan pembangunan luar bandar secara berkala

MyProjek pantau kemajuan pembangunan luar bandar secara berkala

RUBIAH WANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memantau kemajuan projek pembangunan luar bandar secara berkala dengan memperkukuh pemantapan pelaporan melalui Sistem MyProjek.

Timbalannya, Datuk Rubiah Wang berkata, langkah itu membolehkan laporan kemajuan fizikal dan kewangan projek dipantau secara berkala bagi memastikan maklumat adalah tepat dan terkini.

Katanya, ia secara tidak langsung membolehkan kementerian membuat keputusan lebih tepat terhadap projek yang memerlukan perhatian khusus.

“Mekanisme pemantauan dan penilaian keberkesanan projek pembangunan luar bandar dilaksanakan selaras dengan Arahan No. 1 Jabatan Perdana Menteri melalui mesyuarat penyelarasan di peringkat Persekutuan, Kementerian dan Negeri.

“Meskipun majoriti projek menunjukkan kemajuan yang positif, terdapat beberapa projek mengalami kelewatan disebabkan pelbagai faktor.

“Justeru itu, kementerian melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan penambahbaikan bagi memastikan projek-projek bermasalah ini dapat disiapkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung mekanisme pemantauan dan keberkesanan projek pembangunan luar bandar serta langkah pemulihan bagi projek yang menghadapi masalah dalam pelaksanaannya.

Rubiah berkata, antara langkah pemulihan yang dilaksanakan termasuk pembentangan status pelaksanaan projek bermasalah dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK).

Katanya, ia bertujuan memastikan tindakan intervensi dan pemulihan dapat dipantau secara rapi serta berterusan.

“Selain itu, kementerian turut melaksanakan lawatan pemantauan secara berfokus melalui sesi libat urus di lapangan bersama Agensi Pelaksana, Agensi Negeri serta Agensi Pusat bagi meneliti isu pelaksanaan projek dan memuktamadkan penyelesaian isu dengan segera.

“Melalui pendekatan ini, kementerian komited memastikan projek pembangunan luar bandar disiapkan mengikut perancangan, mencapai objektif telah ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×