
PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merekodkan pencapaian menyeluruh dan berimpak tinggi sepanjang tiga tahun di bawah kepimpinan Mohamad Sabu, sekali gus memperkukuh asas keterjaminan makanan negara dalam berdepan cabaran global dan domestik.
Sejak memulakan tugas rasmi pada 5 Disember 2022, kementerian meletakkan keutamaan jelas terhadap agenda memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan mampu milik, yang diterjemahkan melalui teras pentadbiran ‘Cukup & Terjamin’.
Antara pencapaian paling signifikan ialah kejayaan menangani krisis kekurangan bekalan ayam dan telur yang berlaku pada peringkat awal pentadbiran. Melalui intervensi pasaran yang pantas dan penyelarasan rantaian bekalan, kestabilan bekalan berjaya dipulihkan dalam tempoh singkat.

pasaran yang pantas dan penyelarasan rantaian bekalan.
Lebih penting, kestabilan bekalan makanan asas itu dapat dikekalkan secara konsisten, termasuk ketika musim perayaan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus sistem keterjaminan makanan negara.
Dalam sektor padi dan beras, KPKM mencatat pencapaian besar apabila melaksanakan reformasi struktur secara berperingkat bagi menangani penurunan kadar sara diri beras negara yang mencecah sekitar 58 peratus pada 2022.
Bagi meringankan tekanan kos pengeluaran pesawah, kerajaan menaikkan Skim Subsidi Harga Padi, harga lantai belian padi serta memperkenalkan beberapa insentif baharu termasuk Insentif Penuaian Padi dan Skim Takaful Tanaman Padi yang dibiayai kerajaan.
Langkah ini dapat mengurangkan risiko kerugian akibat bencana alam dan serangan perosak, sekali gus memperkukuh daya tahan pengeluaran padi tempatan.
Kementerian turut merekodkan pencapaian penting apabila berjaya mengekalkan bekalan beras negara ketika pasaran global terjejas akibat sekatan eksport India, termasuk memperoleh kelulusan khas import beras putih dan melaksanakan subsidi beras import khususnya untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi menangani isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT), KPKM melaksanakan Program Khas Subsidi BPT bernilai RM150 juta selain memperkenal sistem pengesanan ‘rice tag’ bagi perkukuh pemantauan pasaran.
Dalam masa sama, kementerian menggerakkan kajian pasaran menyeluruh melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) serta dokumentasi DNA beras tempatan oleh MARDI sebagai asas pembentukan dasar berasaskan data pada masa hadapan.
Dari sudut produktiviti, pelaksanaan Skim Smart Sawah Berskala Besar Ala Sekinchan mencatat peningkatan hasil sehingga 7 hingga 8 tan sehektar di kawasan perintis, sekali gus membuktikan keberkesanan pengurusan ladang secara profesional dan berskala besar.
Pencapaian strategik jangka panjang turut direkodkan menerusi pelaksanaan projek naik taraf sistem pengairan di kawasan MADA bernilai RM5 bilion, yang dijangka membolehkan sehingga lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun.
KPKM juga mencatat kemajuan ketara dalam mengurangkan jurang import makanan melalui pemerkasaan eksport agromakanan bernilai tinggi, khususnya durian dan nanas yang menunjukkan lonjakan nilai eksport ke pasaran antarabangsa.
Pada masa sama, inisiatif pengeluaran domestik seperti penanaman bawang tempatan dan pembangunan jagung bijian digerakkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan mentah makanan ternakan.
Dalam aspek tata kelola, kementerian merekodkan pencapaian reformasi institusi apabila Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diwartakan sebagai badan awam di bawah Akta SPRM, sekali gus memperkukuh integriti dan ketelusan tadbir urus.
Penubuhan Malaysian Agricultural Regulatory and Enforcement Agency (MAREA) pula menjadi pencapaian penting dalam menyelaraskan penguatkuasaan sektor agromakanan yang sebelum ini berpecah antara pelbagai agensi.
Kementerian turut melaksanakan pemisahan kuasa pentadbiran dalam sektor padi dan beras bagi mengelakkan pertindihan fungsi serta konflik kepentingan, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kawal selia.
Rekod pencapaian KPKM turut terserlah melalui penstrukturan semula subsidi ayam dan telur secara berperingkat dan bersasar, yang berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan tanpa menjejaskan kestabilan bekalan kepada rakyat.
Selain itu, penganjuran MAHA 2024 mencatat kehadiran luar biasa melebihi lima juta pengunjung dan nilai transaksi puluhan juta ringgit, sekali gus mengukuhkan peranan sektor agromakanan sebagai pemacu ekonomi.
Program Jualan Agro MADANI yang diperluaskan ke seluruh negara serta penambahbaikan Geran Agropreneur Muda yang memanfaatkan ribuan belia pula mengukuhkan lagi rekod pencapaian kementerian di peringkat akar umbi.
Secara keseluruhan, rekod pencapaian KPKM sepanjang tiga tahun ini memperlihatkan pendekatan pentadbiran yang berorientasikan hasil, reformasi berstruktur dan dasar berasaskan data, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk memperkasa sistem makanan negara secara mampan demi manfaat rakyat dan negara. – UTUSAN










