21 laluan penerbangan baharu sumbang hampir 14,000 penumpang mingguan ke Malaysia

21 laluan penerbangan baharu sumbang hampir 14,000 penumpang mingguan ke Malaysia

MALAYSIA kini bersedia menerima kedatangan pelancong asing dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal memperkenalkan 21 laluan penerbangan antarabangsa baharu bermula bulan ini hingga pertengahan Januari tahun depan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penambahan itu merangkumi 16 penerbangan berjadual dan lima penerbangan sewaan, yang akan dioperasikan oleh 10 syarikat penerbangan, menghubungkan Malaysia dengan negara ASEAN, Asia Timur, Uzbekistan dan Sri Lanka.

“Daripada 16 laluan berjadual itu, 13 akan bermula bulan ini, manakala selebihnya pada Januari. Laluan-laluan ini akan menambah 81 penerbangan terus ke Malaysia, dengan kapasiti maksimum 13,936 penumpang setiap minggu.

“Bagi lima penerbangan sewaan pula, empat akan bermula pada Disember, manakala satu lagi pada Januari,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, perkhidmatan penerbangan baharu itu akan melibatkan 8 negara 17 destinasi, menghubungkan sembilan lapangan terbang di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Subang (Selangor), Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Tawau (Sabah), Kuching (Sarawak), Ipoh (Perak) serta Langkawi (Kedah).

Mengulas perkembangan di Asia Timur, King Sing berkata, rantau itu menjadi tumpuan utama perluasan laluan penerbangan.

“Tujuh penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan akan menghubungkan Malaysia dengan lapan bandar di China.

“Selain itu, penerbangan berjadual baharu akan dibuka ke Osaka, Jepun dan Busan, Korea Selatan, manakala Taichung, Taiwan akan menerima penerbangan sewaan,” katanya.

Dalam rantau ASEAN, katanya, enam penerbangan berjadual akan menghubungkan Malaysia dengan Singapura, Jakarta dan Medan di Indonesia, serta Cebu di Filipina.

Sementara itu, Tashkent, Uzbekistan dan Colombo, Sri Lanka masing-masing akan menerima satu penerbangan berjadual.

“Kebanyakan laluan baharu ini akan dioperasikan oleh syarikat penerbangan tempatan. Batik Air akan mengendalikan lapan penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan, manakala AirAsia akan melancarkan satu penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan, selain satu penerbangan berjadual oleh Firefly,” katanya.

Katanya, syarikat penerbangan asing yang akan memperluas operasi ke Malaysia termasuk enam syarikat dari China iaitu Loong Air, Shandong Airlines, Xiamen Airlines, Hainan Airlines, Sichuan Airlines dan Juneyao Air, yang akan mengendalikan lima penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan.

“Baki penerbangan baharu pula akan ditawarkan oleh T’way Air dari Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN