KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin terus menyuarakan kepentingan perpaduan Melayu khususnya membabitkan kerjasama antara UMNO dengan Pas dalam pilihan raya umum (PRU), meskipun tahap kesihatannya kini tidak menentu.
Perkara itu dikongsi anaknya, Nabilah Hashim yang berkata, bapanya tetap menyentuh soal kerjasama politik dan masa depan orang Melayu, walaupun dalam keadaan uzur.
Nabilah berkata, antara pesanan yang sering diulang bapanya adalah sentiasa berbuat baik kepada semua orang.
“Saya dapat rasakan walaupun mata abah pejam tetapi abah masih bekerja. Abah ulang bercakap mengenai kerjasama UMNO-Pas dalam pilihan raya ini dan pilihan raya akan datang. Abah juga menyentuh soal hubungan antarabangsa.
“Abah turut berpesan mengenai perpaduan Melayu. Orang Melayu tidak boleh berpecah dan abah pesan semua kena mati dalam Islam. Semua saya ingat dan catat, gaya bahasa abah seperti seorang yang sedang berceramah.
“Sekali-sekala abah angkat takbir tanpa berakhir dengan salam, mata abah pejam rapat, kadang-kadang angkat tangan berdoa dan kakak aminkan. Abah kata abah penat, saya kata kalau abah penat, abah berehatlah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hashim, 87, sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sejak 7 Februari lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.
Beliau dipantau di unit rawatan rapi (ICU) disebabkan keadaan jantung semakin lemah, masalah buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Dalam pada itu, anak bongsu Hashim, Husna berkata, bapanya ketika ini berdepan dengan masalah jangkitan kuman pada paru-paru manakala keadaan jantung pula masih stabil serta positif.
Katanya, Hashim akan mengikuti prosedur untuk mengeluarkan kahak pada paru-paru yang menjadi punca kepada jangkitan kuman.
“Perkembangan abah tidak berubah cuma terbaharu ada masalah jangkitan kuman pada paru-paru dan pihak hospital sedang berusaha mengeluarkan kahak. Secara keseluruhan tahap kesihatan abah menunjukkan perkembangan positif, terutamanya membabitkan fungsi jantung dan buah pinggang.
“Perunding kardiologi juga memaklumkan bahawa keadaan jantung abah bertambah baik dan penggunaan ubat-ubatan juga akan dikurangkan secara berperingkat. Keadaan buah pinggang abah juga semakin baik dan sudah mula buang air kecil dengan lancar,” katanya. – UTUSAN










