Transformasi Al-Falah, syiar Islam mekar di era Malaysia Madani

Transformasi Al-Falah, syiar Islam mekar di era Malaysia Madani

Mohd. Na’im Mokhtar (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi dan warga kerja yang berjaya meraih anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa pada Majlis Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majlis Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 kelmarin berlangsung dengan penuh bermakna, menghimpunkan lebih 800 warga kerja daripada pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kehadiran yang memberangsangkan ini menggambarkan komitmen bersama dalam memantapkan agenda pembangunan ummah dan syiar Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, dalam ucapannya menegaskan bahawa MAHEA bukan sekadar perhimpunan rutin, tetapi platform penyatuan, pemerkasaan nilai, dan pemantapan strategi selaras Transformasi Al-Falah dan Malaysia MADANI.

Mohd. Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen berterusan memperkukuh agenda pembangunan ummah melalui peningkatan peruntukan Hal Ehwal Agama kepada RM2.6 bilion dalam Belanjawan MADANI 2026.

Peningkatan ini membuktikan kepercayaan tinggi Kerajaan terhadap JPM-HEA sebagai peneraju utama agenda pembangunan Islam di Malaysia.

Dalam majlis tersebut, Mohd. Na’im turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi dan warga kerja yang berjaya meraih anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa hasil inovasi perkhidmatan, kreativiti serta keberkesanan penyampaian.

Pencapaian ini mengangkat imej JPM-HEA sekali gus membuktikan keupayaan sektor Hal Ehwal Islam bersaing dalam ekosistem reformasi perkhidmatan awam.

Pada majlis yang sama, Mohd. Na’im turut melancarkan Skuad Ihsan MADANI JPMHEA, sebuah pasukan sukarelawan merentas agensi yang akan digerakkan untuk membantu mangsa bencana terutama menjelang Monsun Timur Laut.

Beliau turut mencadangkan agar Tabung Musa’adah Bencana JAKIM–YWM diaktifkan bagi mengumpul sumbangan orang ramai dan menyelaras bantuan kepada kawasan terjejas.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI, dokumentasi komprehensif pencapaian 3 tahun Transformasi Al-Falah hasil kerjasama semua agensi Hal Ehwal Agama, diterbitkan dengan kerjasama IKIM.

Buku ini sekali gus menangkis persepsi bahawa Islam dalam keadaan terancam, sebaliknya membuktikan bahawa syiar Islam terus subur dan menjadi tunjang pembangunan negara.

Mohd. Na’im juga merakamkan penghargaan kepada MAIWP, IKIM dan semua urusetia atas kejayaan penganjuran MAHEA 2025, serta kepada warga kerja yang hadir memeriahkan himpunan ini sebagai simbol kesatuan dan kekuatan ekosistem Hal Ehwal Agama menuju 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN