KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan dalam kerajaan, bidang perundangan dan industri diseru menjadikan Malaysia sebagai lambang kesaksamaan, pusat keamanan dan mercu tanda keadilan yang mampan kepada dunia.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya pada Minggu Alternative Dispute Resolution (ADR) Asia 2025, berkata, penganjuran program bertemakan ‘Kairos: Merebut ADR’ itu mencerminkan kemunculan Malaysia bukan saja sebagai tempat berkumpulnya pakar global tetapi sebagai pusat kecemerlangan dalam landskap ADR yang semakin berkembang.
Katanya, perkataan Yunani purba ‘Kairos’ membawa maksud lebih daripada sekadar tema sebaliknya menggambarkan hakikat mendalam bahawa setiap era terdapat satu detik penentu visi, kepimpinan dan keyakinan bertemu.
“Bagi Malaysia, inilah detik Kairos kita dalam ADR. Ia saat penting untuk melangkah lebih jauh daripada penyertaan semata-mata dan mula membentuk seni bina global dalam mencapai resolusi terhadap penyelesaian.
“Dalam dunia yang sering didefinisikan oleh konflik dan pertembungan, ADR menawarkan jalan dialog menggantikan perbalahan dan kerjasama menggantikan konfrontasi.
“Ia mencerminkan nilai-nilai utama yang mendasari visi Malaysia Madani iaitu keterangkuman, belas kasihan dan tanggungjawab bersama. Prinsip ini yang memacu cara kita mentadbir, berinteraksi dan menyelesaikan perbezaan,” katanya.
Beliau berkata, Akta Timbang Tara (Pindaan) 2024 dan Akta CIPAA (Pindaan) 2024 telah mereformasikan institusi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) sekali gus menandakan langkah besar ke hadapan dalam memodenkan rangka kerja penyelesaian pertikaian Malaysia.
“Ini bukan sekadar penambahbaikan prosedur, ia merupakan reformasi transformasi yang menempatkan Malaysia di barisan hadapan landskap ADR global. Semua ini dilakukan sambil mengekalkan ciri kebangsaan kita, memastikan bahawa kebolehcapaian, ketelusan dan kepercayaan kekal menjadi nadi sistem kita,” katanya.
Fadillah berkata, aspirasi Malaysia adalah untuk menjadi hab ADR yang neutral, berwibawa dan bertaraf global bukanlah perkara baharu, namun apa yang menjadikannya lebih realistik hari ini ialah kesiapsiagaan negara.
Katanya, kedudukan Malaysia di tengah-tengah ASEAN dan di sepanjang koridor perdagangan tersibuk dunia, negara menjadi jambatan antara Timur dan Barat dengan menawarkan sifat neutral, kefasihan budaya dan kecanggihan undang-undang.
“Transformasi ADR di Malaysia bukan sekadar bersifat pentadbiran sebaliknya ia strategik, berpandangan jauh dan membentuk negara. Dengan mengamalkan ADR, kita memupuk budaya persefahaman yang melangkaui sempadan.
“Marilah kita, kerajaan, institusi, perniagaan dan masyarakat bekerjasama membentuk masa depan di mana pertikaian digantikan dengan dialog, dan perkongsian berkembang melalui keamanan,” katanya. – UTUSAN










