SABAK BERNAM: Lima buah surau di sekitar Parit 2 Timur hingga Parit 5 Timur dekat Sungai Panjang di sini, menerima sumbangan berjumlah RM315,000 daripada Agensi Angkasa Malaysia (MySA) bagi tujuan menaik taraf serta menambah baik kemudahan infrastrukturnya.
Pelaksanaan naik taraf itu dilaksana bermula Jun hingga Ogos lalu menerusi program Kampung Angkat Madani (KAM) oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azlikamil Napiah berkata, program tersebut berteraskan aspirasi Malaysia Madani yang mempunyai tiga fokus utama iaitu kesejahteraan penduduk, pemerkasaan ekonomi setempat serta program celik Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Maknanya, apabila kita menaiktaraf atau menambah baik infrastruktur, kita juga buka peluang kepada pemerkasaan ekonomi dan melihat kesinambungannya selepas itu.
“Kami juga berhasrat supaya bukan sekumpulan komuniti sahaja menerima manfaat, tetapi mungkin dua atau tiga pihak lain pula akan menerima untuk jangka masa yang lebih panjang dan (bantuan) lebih meluas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Siap Kerja Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Lima buah Surau Kampung Angkat Madani MySA, hari ini.
Tambahnya, di bawah pemerkasaan ekonomi, turut diberikan bantuan seperti pembelian mesin khas bagi aktiviti penanaman buah melon, penternakan ikan keli dan sebagainya yang boleh memberi pendapatan tambahan kepada komuniti khususnya pesawah-pesawah padi.
Sementara itu, wakil penduduk ketika ditemui rata-rata menzahirkan rasa syukur apabila menerima sumbangan terutama bagi penambahbaikan infrastruktur yang sebelum ini memerlukan masa untuk mendapatkan dana bagi tujuan tersebut.
“Sumbangan tersebut amat penting dan diperlukan kerana sudah dua atau tiga tahun penduduk mengumpul dana bagi menambah baik Surau Haji Mohamad dan Surau Nurul Iman supaya ramai jemaah lelaki dan wanita dapat beribadah dengan selesa,” kata Ketua Kampung Parit 3 Timur, Mohd. Razak Darmawi.
“Dengan sumbangan daripada MySA, kami dapat tambah baik dan naik taraf tandas serta baiki bumbung di Surau Parit 5. Selain itu, MySA turut menyumbang dron bagi kegunaan pertanian oleh petani dan pesawah setempat,” ujar Ketua Kampung Parit 4 Timur, Mohd. Noor Adzhar.
“Selain sumbangan untuk baik pulih kemudahan Surau Ehsaniah dan Surau Haji Baha, kami juga memohon untuk membeli mesin makanan bagi penternakan ikan air tawar. Selain itu, kami juga mahu membeli mesin beras supaya pesawah yang menuai padi boleh juga memperoleh beras hasil penuaian padi,” kata Ketua Kampung Parit 2 Timur, Ibrahim Sahadan. – UTUSAN










