Kuiz kewangan terbesar Malaysia, BijakWang Challenge 2025 catat rekod 4,891 Peserta dalam tempoh sejam

Kuiz kewangan terbesar Malaysia, BijakWang Challenge 2025 catat rekod 4,891 Peserta dalam tempoh sejam

Sijil pengiktirafan MBOR disaksikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid; Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shahriman; Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed; Ketua Skim mySalam, Syuhaib Ithnin serta Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia, Mohd Aliffadhli Zakaria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program literasi kewangan anjuran mySalam, BijakWang Challenge 2025 mencipta sejarah baharu apabila berjaya menarik penyertaan seramai 4,891 peserta dalam tempoh hanya satu jam.

Rekod itu melayakkan penganjuran tersebut menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Largest Financial Literacy Quiz Challenge.

Acara berkenaan diadakan sempena Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang dan dilaksanakan secara serentak melalui platform TikTok LIVE serta laman kuiz interaktif, Kahoot!.

Pendekatan digital itu membolehkan penyertaan besar-besaran daripada golongan belia, pelajar universiti dan masyarakat umum di seluruh negara.

Pengiktirafan terbaharu ini merupakan rekod kedua dicapai mySalam tahun ini selepas kejayaan mencatat Longest Non-Stop Financial Literacy Live Broadcast di Tawau pada Julai 2025.

Ketua Skim mySalam di Great Eastern Takaful, Syuhaib Ithnin berkata, kejayaan penganjuran kali ini menjadi bukti bahawa pembelajaran kewangan mampu disampaikan secara lebih kreatif dan dekat dengan generasi muda.

“BijakWangChallenge 2025 telah membuktikan bahawa pendidikan kewangan boleh disampaikan dengan cara yang lebih kreatif dan menarik.

“Pendekatan kuiz secara langsung ini bukan sahaja efektif dalam mendekati para belia, malah menjadikan pembelajaran kewangan satu pengalaman yang menyeronokkan, interaktif dan relevan dengan gaya hidup digital
masa kini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, program berteraskan konsep gamifikasi itu menyasarkan belia, pelajar universiti dan masyarakat umum bagi memudahkan pemahaman mengenai pengurusan kewangan.

“Kerjasama strategik turut dijalin dengan institusi pendidikan tinggi seperti USM, UniPSAS, UiTM, UIA, UUM, UniKL, UMT, iCATS Kuching, Politeknik Kota Bharu serta Sekolah Teknik,” katanya.

Tambahnya, penyertaan pelajar berusia 16 tahun ke atas serta warga pendidik bukan sahaja memperluaskan capaian literasi kewangan, malah menyemai amalan pengurusan kewangan berhemat dalam kalangan generasi muda yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Beliau berkata, selari dengan komitmen jangka panjang, mySalam menubuhkan Komuniti BijakWang melalui aplikasi WhatsApp yang kini dianggotai lebih 2,000 ahli sebagai platform perkongsian tip kewangan, maklumat perlindungan sosial dan hebahan aktiviti pembelajaran berterusan.

Pada program itu, seramai sembilan peserta terbaik menerima hadiah keseluruhan bernilai RM30,000, manakala USM diumumkan pemenang hadiah istimewa bernilai RM3,000 sebagai institusi dengan penyertaan tertinggi.

sementara itu, pemenang tempat pertama, Muhammad Safwan Awang Puteh berkata, penyertaan dalam cabaran itu menyuntik semula minatnya untuk menimba ilmu kewangan.

“Disebabkan kuiz ini, saya semakin rajin membaca dan mengulang kaji seperti waktu persekolahan dahulu.

“Banyak perkara tentang kewangan sebenarnya mudah difahami apabila dipelajari dengan cara menyeronokkan seperti ini,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2019, mySalam telah membantu seramai 1.8 juta ahli dengan jumlah bayaran tuntutan mencecah RM1.311 bilion setakat 31 Oktober 2025.

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, skim itu turut dilanjutkan sehingga Disember 2026 bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah terus menerima perlindungan kewangan sewajarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN