Menghubungkan informasi kewangan, kesihatan dan kebajikan kepada komuniti Pulau
PETALING JAYA: mySalam, skim perlindungan takaful nasional untuk komuniti B40 yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) telah melakar sejarah melalui penganjuran program jelajah pulau berskala besar pertamanya iaitu Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan, Kebajikan yang berlangsung pada hari ini di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah.
Inisiatif penting ini membawa misi mySalam untuk memperluas perlindungan secara inklusif ke Pulau Bum Bum yang dihuni lebih 30,000 penduduk yang telah sekian lama berdepan dengan cabaran daripada segi infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan kewangan.
Karnival ini menzahirkan komitmen mySalam yang membuktikan komuniti boleh dibantu dan dilindungi walaupun berada di lokasi yang jauh.

Karnival yang berlangsung selama seharian ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik berteraskan tiga teras utama iaitu kewangan, kesihatan dan kebajikan.
Komuniti setempat berpeluang untuk terlibat dalam sesi pendidikan kewangan yang interaktif, mendapatkan khidmat nasihat di lokasi, dan meraikan pelancaran papan tanda baharu SK Balimbang di samping menyertai taklimat kesedaran alam sekitar yang membantu memupuk gaya hidup lebih baik dalam kehidupan seharian mereka.
“Selepas menjejakkan kaki ke beberapa perkampungan Orang Asli dan rumah panjang di Sarawak, penganjuran Karnival 3K mySalam di Pulau Bum Bum amat bermakna buat kami.
“Ini bukan sekadar program capaian biasa, ia adalah satu iltizam. Kami mahu setiap rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan demografi dan lokasi mengetahui bahawa mereka adalah didengari, disokong dan dilindungi. Matlamat kami bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran,
tetapi untuk memberi akses secara langsung dan berterusan kepada perlindungan, ilmu serta peluang.
“Apa yang kami saksikan di Pulau Bum Bum ini ialah sebuah komuniti yang telah bersedia untuk menerima bantuan serta perubahan positif dan kami berbesar hati untuk berdiri teguh bersama mereka,” kata Ketua mySalam, Great Eastern Takaful, Syuhaib Ithnin.
Aspek kesihatan dan kebajikan turut menjadi fokus utama karnival ini. Para pelajar diberikan beg sekolah baharu, 700 keluarga dibantu dengan pemberian Bakul Rezeki yang mengandungi makanan asas, manakala komuniti berpeluang untuk melakukan saringan kesihatan percuma.
Semangat muhibah turut diperkukuh melalui acara Sukan Rakyat, pertandingan reka cipta kitar semula, dan program outreach khas melalui bot
untuk menyalurkan bantuan ke perkampungan atas air berdekatan.
Hari yang penuh bermakna ini diakhiri dengan acara Cabutan Rezeki, meninggalkan kenangan indah buat semua yang hadir.
Sejak dilancarkan, mySalam telah membantu lebih 1.7 juta rakyat Malaysia dan menyalurkan wang tuntutan lebih RM1.2 bilion.
Sehingga Mei 2025, pendekatan jelajah hibrid yang diterajui mySalam telah mencapai lebih 330 sesi fizikal serta 1,865 sesi TikTok Live dengan 7.47 juta tontonan.
Pencapaian ini memperkukuhkan lagi komitmen untuk memastikan tiada yang terpinggir daripada aspek digital dan fizikal.
Kejayaan Karnival 3K mySalam ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Pertubuhan Kebajikan Sedulur. – UTUSAN










