Isteri Wakil Negeri Utusan Malaysia Pahang meninggal dunia akibat strok

Isteri Wakil Negeri Utusan Malaysia Pahang meninggal dunia akibat strok

MOHAMAD Shofi Mat Isa (dua dari kanan) bersama tiga anaknya mengiringi jenazah Allahyarham Nur Aniza Abdul Wahab ke Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isteri kepada Wakil Negeri Utusan Malaysia Pahang, Mohamad Shofi Mat Isa, Nur Aniza Abdul Wahab meninggal dunia akibat serangan strok di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, malam tadi.

Allahyarham berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 malam selepas sukar bernafas sebelum dibawa ke hospital itu untuk rawatan kecemasan, kelmarin.

Jenazah anak sulung daripada lapan beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.

Allahyarham Nur Aniza yang dikenali sebagai isteri penyayang meninggalkan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Noah Adwa, 9; Muhammad Hudd Adwa, 7; dan Muhammad Luth Adwa, 5.

Mohamad Shofi, 40, berkata, isterinya tidak menunjukkan tanda-tanda sakit serius sebelum kejadian sebaliknya hanya mengadu keletihan sejak beberapa hari lalu.

“Arwah seorang yang tenang, banyak berkorban untuk keluarga dan sentiasa memberi semangat kepada saya. Pemergiannya benar-benar mengejutkan,” katanya ketika ditemui.

Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga apabila saudara-mara, jiran dan rakan-rakan media hadir menziarahi serta memberikan sokongan moral kepada keluarga berkenaan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar, Perumahan Semambu sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan untuk dikebumikan.

Mohamad Shofi mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan mendoakan kesejahteraan Allahyarham isterinya.

“Saya tersentuh dengan kehadiran rakan-rakan media, jiran dan sahabat yang datang memberi semangat. Saya dan anak-anak reda dengan ketentuan Allah dan terus mengenang jasa serta kasih sayang arwah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN