PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. merekodkan jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 15 tahun dengan sebanyak 19,833 unit kenderaan terjual pada Januari lalu, dipacu permintaan kukuh terhadap model Proton Saga.
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan 35.3 peratus berbanding Disember tahun sebelumnya serta hampir dua kali ganda berbanding 9,918 unit yang dicatatkan pada Januari tahun lalu.
Menurut kenyataannya, prestasi tersebut hadir susulan penutup tahun yang kukuh apabila pertumbuhan jualannya mengatasi pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih enam kali ganda.
“Secara keseluruhan, TIV dianggarkan meningkat 28.3 peratus tahun ke tahun, namun menurun sekitar 28.6 peratus berbanding paras tertinggi yang direkodkan pada Disember.
“Berdasarkan anggaran awal, pegangan pasaran Proton mencecah 30.6 peratus, tertinggi sejak Januari 2012, sekali gus memberi permulaan positif ke arah sasaran jualan 200,000 unit bagi tahun 2026.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, prestasi model Proton Saga membuktikan daya tarikan berterusan dalam kalangan pembeli tempatan.
“Tidak ramai pengeluar automotif mempunyai model yang kekal dalam pengeluaran lebih 40 tahun dan masih mampu mencatat rekod jualan baharu. Ini satu pencapaian membanggakan bagi Proton dan industri automotif negara.
“Pelancaran model itu di Brunei pada Februari serta peluasan berperingkat ke pasaran antarabangsa lain dijangka menyokong momentum jualan semasa,” katanya.
Model Proton Saga terus menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila mencatat jualan bulanan tertinggi dengan 10,285 unit pada Januari.
Sejak pelancaran rasminya pada 27 November tahun lalu, lebih 19,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan, dengan kadar penghantaran dianggarkan satu unit setiap lima minit.
Setakat ini, hampir 100,000 tempahan telah diterima untuk model berkenaan dan dijangka terus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah jualan syarikat dalam tempoh terdekat.
Selain model segmen A, barisan kenderaan utiliti sukan (SUV) siri X dan sedan siri S turut mencatat pertumbuhan jualan memberangsangkan.
Proton X50 merekodkan jualan 2,429 unit pada Januari, meningkat 69.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Proton X70 pula mencatat 672 unit, naik 16.5 peratus, manakala Proton S70 merekodkan 1,604 unit, meningkat 40.3 peratus dan menjadi prestasi bulanan terbaik sejak Mei tahun lalu.
Model perdana Proton X90 turut menunjukkan peningkatan dengan jualan 252 unit, bertambah 24.1 peratus.
Menurut Abdul Rashid, strategi pembaharuan barisan produk merangkumi kenderaan enjin pembakaran dalaman dan elektrik, serta pendekatan komunikasi teknologi yang lebih jelas kepada pengguna mula membuahkan hasil.
“Syarikat akan terus memperkukuh kehadiran pasaran dan memperluaskan aktiviti pengeluaran tempatan bagi memastikan pelanggan menerima produk berkualiti pada harga kompetitif,” katanya. – UTUSAN










