Karya pelajar autistik dari Pendang hiasi kalendar bank

Karya pelajar autistik dari Pendang hiasi kalendar bank

AINUL Syeefa Zamrol menunjukkan lukisan karyanya yang menghiasi kalendar sebuah bank ketika ditemui di Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Bakat seni luar biasa seorang pelajar autistik Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ), di sini mencuri perhatian ramai apabila lukisannya terpilih menghiasi kalendar sebuah syarikat perbankan.

Lebih menarik, sentuhan magis Ainul Syeefa Zamrol, 15, itu menghasilkan lukisan bertemakan haiwan diangkat sebagai ilustrasi kalendar syarikat tersebut sejak tiga tahun lalu.

Ibunya, Suraya Abdul Rahman, 54, berkata, syarikat kewangan itu mengesan bakat Ainul Syeefa melalui karya lukisan yang se­ring dijadikan bahan dalam akaun media sosial anak bongsunya, sebelum melamarnya untuk projek kalendar berke­naan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah tiga tahun Ainul Sye­efa melukis untuk kalendar bank itu termasuk tahun ini. Dia juga diberi peluang untuk melukis ilus­trasi sampul duit raya sebuah syarikat minuman,” katanya ketika ditemui di SMoKBJ, semalam.

Bercerita lanjut, kata Suraya, bakat Ainul Syeefa dikesan pada usia tujuh tahun ketika dia menyertai satu aktiviti melukis sempena pameran di Balai Seni Lukis, Alor Setar.

“Penganjur memuji lukisannya dan menyatakan dia berpotensi. Selepas itu saya dan suami (Zamrol Yaakub) mendaftarkannya ke kelas lukisan,” katanya.

Suraya berkata, sehingga kini Ainyl Syeefa, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menghasilkan lebih 300 karya dan sering menerima jemputan menyertai pameran lukisan di seluruh dunia terma­suk di Perancis, Jepun dan Indonesia.

Bercerita tentang tema lu­kisan, kata Suraya, Ainul Syeefa gemar membaca buku cerita dan menjadikan kisah-kisah dongeng terutama tentang puteri raja sebagai subjek utama karya lukisannya.

“Terbaharu dia sedang me­nyiapkan lukisan Puteri Lindu­ngan Bulan. Untuk setiap lukisan dia akan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiap­kan kerana dia sangat teliti.

“Sebagai anak autisme, saya memberi sepenuh kebebasan untuk Ainul Syeefa berkarya dan setakat ini karya-karyanya meraih perhatian ramai,” katanya yang juga seorang guru.

Sementara itu, Pengetua SMoKBJ, Jamkhuriyati Hussain berkata, Ainul Syeefa menjadi inspirasi kepada pelajar lain ke­rana bakat luar biasa yang dimilikinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×