PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Kim Pan Gon menjadi faktor utama perancang tengah Korea Selatan, Jeon Seung Min memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah.
Kelmarin, Selangor FC mengumumkan ketibaan pemain tengah berusia 26 tahun itu bagi memperkuatkan pasukan lam baki Liga Malaysia, musim ini.
Seung Min memulakan kerjaya profesional bersama Seongnam FC dengan tiga penampilan liga sebelum menyertai Jeonnam Dragons yang mana dia tampil dalam 43 perlawanan dan menjaringkan tiga gol.
Pemain berusia 26 tahun itu kemudian beraksi untuk Busan IPark dengan 13 penampilan sebelum ke FC Anyang yang menyaksikan dia membantu pasukan itu meraih kejuaraan liga Korea 2 pada musim 2023/2024.
“Barisan staf dan pemain di Selangor FC membuatkan saya merasakan ini adalah kelab yang tepat untuk saya. Jurulatih, Kim Pan Gon juga memainkan peranan penting dalam keputusan saya.
“Beliau adalah seorang jurulatih yang hebat di Korea Selatan dan saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menyertai pasukan ini,” kata Seung Min.
Sebelum ini, Selangor FC sudah merekrut beberapa pemain import baharu termasuk Hugo Boumous, Kim Ji Ho dan Vitor Pernambuco bagi memperkuatkan pasukan itu. – UTUSAN










