KOTA KINABALU: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang menawarkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu memastikan tiada rakyat di negeri ini tercicir daripada arus pembangunan menerusi tekad menyelesaikan masalah tiga serangkai iaitu air, elektrik dan jalan raya sejak sekian lama membelenggu Sabah.
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Ghafar berkata, manifesto tersebut memberi tumpuan terhadap beberapa aspek utama termasuk peningkatan taraf hidup rakyat, pembangunan ekonomi luar bandar, penyediaan peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti dan pemerkasaan modal insan.
Katanya, BN turut menumpukan perhatian kepada golongan muda menerusi tawaran pendidikan percuma, pengukuhan program latihan kemahiran serta pelbagai inisiatif sokongan untuk pelajar bagi membuka lebih banyak laluan masa depan.
“Mesej yang dibawa BN sangat jelas tiada seorang pun rakyat ditinggalkan. Untuk golongan belia, tawaran termasuk pendidikan percuma dan latihan kemahiran merupakan respons tepat terhadap keperluan anak muda di peringkat akar umbi.
“Sebagai golongan belia, kita mahu lihat dahulu pelaksanaannya, namun saya yakin manifesto kali ini sudah cukup meluas dan menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Arfanshah berkata, Rancangan Pembangunan Sabah Satu bukan sekadar dokumen manifesto pilihan raya, tetapi satu pelan pelaksanaan yang memfokuskan perubahan jangka pendek dan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, tawaran pendidikan berkualiti yang digariskan BN merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi serta bantuan pendaftaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang selama ini menjadi beban kepada ramai keluarga.
“Kita tahu masuk IPT pun memerlukan kos permulaan yang tinggi. Pendaftaran sahaja boleh
mencecah RM1,000 hingga RM1,600. Jadi inisiatif seperti ini memang kita sambut baik. Bukan saya sahaja, saya rasa semua orang pun setuju dengan apa yang ditawarkan BN,” katanya.
Mengulas tahap pendidikan belia di Darau, Arfanshah mengakui masih wujud sebilangan anak muda yang tidak melanjutkan pelajaran selepas SPM, meskipun majoriti sudah memiliki kelayakan tertentu.
“Dengan tawaran manifesto ini, ia membantu anak muda untuk terus berjaya dan melanjutkan pengajikan di peringkat yang lebih tinggi, sama ada IPT mahupun pendidikan alternatif seperti TVET dan latihan berasaskan kemahiran,” katanya.
Bagi Calon BN DUN Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed berkata, tawaran BN itu merangkumi semua inisiatif di bawah satu pelan hala tuju jelas khususnya dalam soal kebajikan, pendidikan dan ekonomi.
Menurutnya, pelan pembangunan yang digariskan BN mampu memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat tanpa mengabaikan mana-mana kumpulan termasuk golongan belia, peniaga serta keluarga berpendapatan rendah.
“Tiada satu golongan pun tercicir dalam pelan Rancangan Pembangunan Sabah Satu. Untuk golongan belia, sudah tentu dalam manifesto BN, kami menyatakan hasrat untuk membantu mereka supaya mempunyai hala tuju jelas dalam menghadapi cabaran hidup dan isu masa depan,” katanya.
Beliau berkata, hala tuju BN itu bukan sahaja menepati keperluan semasa rakyat, malah menekankan penyelesaian terhadap masalah asas yang sudah lama dibangkitkan rakyat Sabah.
Jelasnya, sebagai contoh Tanjung Keramat sebagai daerah paling kecil di Sabah dengan keluasan 30 kilometer persegi mempunyai cabaran tersendiri, terutama dari sudut peningkatan pendapatan dan peluang ekonomi.
“Soal ekonomi ini membabitkan peniaga-peniaga kecil yang ramai di kawasan kita. Jadi, keutamaan adalah untuk merancakkan aktiviti ekonomi supaya pendapatan penduduk dapat ditingkatkan,” katanya. – UTUSAN










