KOTA KINABALU: Strategi Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan gabungan calon muda dan berpengalaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat sebagai pendekatan efektif untuk memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terjaga untuk tempoh lima tahun akan datang.
Antara calon BN berpengalaman ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan; Datuk Seri Bung Moktar Radin (DUN Lamag), Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin (DUN Sukau) dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin (DUN Bongawan).
Selain itu, Datuk Harun Durabi di DUN Bengkoka, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir (DUN Sungai Sibuga) dan Datuk Yakub Khan ( DUN Karambunai) manakala muka baharu antaranya seperti Dr Shahnon Rizal Thaijudin (DUN Sulaman), Dr Helmey (DUN Apas) dan Samasudin Yusop (DUN Tanjung Batu).

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kombinasi dua generasi itu bukan sekadar strategi politik semata-mata, tetapi pendekatan adaptif yang mampu memenuhi keperluan pengundi bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, strategi gabungan ini realistik kerana demografi Sabah sangat berbeza mengikut kawasan.
“Calon muda lebih mudah menarik pengundi belia dan pekerja bandar, manakala calon berpengalaman mendapat kepercayaan komuniti luar bandar serta pemimpin tempatan.
“Namun keberkesanan strategi ini bergantung kepada sejauh mana BN memberi ruang sebenar kepada calon muda untuk bersuara dalam kempen, bukan sekadar simbolik. Jika kedua-dua generasi bergerak serentak dengan mesej yang serasi, ia boleh menambah nilai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sivamurugan berkata, calon BN menunjukkan peningkatan berbanding PRN terdahulu, terutamanya dari segi kepelbagaian latar belakang profesional dan representasi generasi.
“Parti itu menampilkan beberapa muka baharu yang lebih berpendidikan serta berpengalaman dalam sektor sosial dan pentadbiran tempatan. BN juga lebih berhati-hati memilih calon dengan rekod perkhidmatan setempat, sambil mengekalkan keseimbangan antara calon berpengaruh dan calon reformis.
“Secara keseluruhan, peningkatan ini memberi keyakinan kepada pengundi terhadap kelayakan calon BN,” katanya.
Bagi penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, gabungan calon muda dan berpengalaman yang ditampilkan BN pada PRN Sabah dilihat sebagai strategi realistik bagi memenuhi kehendak ahli parti dan akar umbi.

“Kejayaan pendekatan ini bagaimanapun bergantung kepada kemampuan calon untuk berinteraksi secara langsung dengan pengundi serta menunjukkan empati terhadap isu sosial dan kesejahteraan masyarakat.
“BN mempunyai kelebihan pada penyandang kerusi seperti Datuk Jafry Ariffin yang dikenali masyarakat Dusun sejak 2004. Calon baharu perlu bekerja lebih keras terutama di kawasan berisiko serta menghadapi sentimen pengundi yang berbeza-beza,” katanya.
Syahruddin berkata, pendekatan gabungan calon muda dan berpengalaman bukan sahaja memberi peluang kepada wajah baharu, tetapi juga menekankan kepentingan calon untuk memahami keperluan setempat dan membina kepercayaan pengundi secara berkesan.
“Dengan strategi ini, BN diharapkan mampu mengekalkan sokongan tradisi sambil menarik perhatian generasi muda dan pengundi luar bandar, selari dengan aspirasi parti untuk memperkukuh pengaruhnya di negeri Sabah,” katanya. – UTUSAN










