PETALING JAYA: Legasi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menjadi faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Syed Alsagoff berkata, naratif simpati masih relevan tetapi di dalam dua bentuk iaitu kesan warisan politik serta faktor simpati dan kesetiaan.
Katanya, kemenangan di dua kerusi tersebut bukan kerana calon semata-mata tetapi kerana jentera yang telah lama dibina.
“Selain itu, walaupun tanpa isu kematian, Bung Moktar sering dilihat sebagai simbol ‘orang tempatan’, berani dan merupakan figura polarisasi tetapi dikenali. Sementara di dalam politik luar bandar pula, kesetiaan peribadi lebih kuat dari ideologi dan ini bermakna pengundi mengundi ‘orang Bung’ bukan ‘orang parti’.
“Bung Moktar memainkan peranan besar, bukan kerana faktor emosi semata-mata tetapi kerana struktur kuasa dan jaringan politik yang beliau bina selama bertahun-tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, media melaporkan, BN mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag apabila kedua-dua calon yang dipertaruhkan berjaya mengalahkan pencabar mereka.
Mohd. Kurniawan Naim Moktar, 32, meneruskan legasi bapanya di Parlimen Kinabatangan apabila tampil dengan kemenangan bergaya selepas memperoleh 19,852 undi, iaitu majoriti 14,214.
Mohd. Ismail Ayob pula memenangi pertarungan satu lawan satu di DUN Lamag menerusi 7,269 undi, berbanding pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek dari Parti Warisan Sabah yang meraih 1,588 undi.
Sementara itu, Syed Agil berkata, trend semasa jelas menunjukkan peralihan daripada politik ‘jenama parti’ ke politik ‘prestasi individu khususnya di peringkat lokal dan sudah dibuktikkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Katanya, pengundi kini lebih menilai kehadiran wakil rakyat, penyelesaian masalah setempat, akses kepada bantuan dan jaringan birokrasi.
Beliau berkata, calon yang sudah dikenali lama, berakar dalam komuniti dan rajin turun pandang boleh memang walaupun parti mereka lemah di peringkat negeri atau nasional.
Sementara itu, beliau berkata, Warisan perlu melakukan perubahan besar dari segi struktur serta strategi politik yang realistic, bukan sekadar perubahan kosmetik atau perjuangan idealisme.
“Masalah utama Warisan adalah parti itu terperangkap dalam politik negeri, lemah di lokal. Mereka kuat dalam wacana besar seperti autonomi dan hak Sabah tetapi lemah dalam servis mikro, bergerak seluruh kawasan serta kerja lapangan berterusan.
“Selain itu, Warisan juga kekurangan jentera politik sedangkan BN masih unggul dalam jentera lama, rangkaian perhubungan ketua kampung, hubungan dengan birokrasi tempatan,” ujarnya. – UTUSAN










