SEREMBAN: Penganjuran Hari Akademia 2025 merupakan manifestasi penghargaan negara kepada golongan ilmuwan yang memainkan peranan tersendiri dalam pembangunan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, berbanding bidang lain seperti sukan, ekonomi dan hiburan, golongan akademia jarang diraikan meskipun peranan mereka cukup besar dalam mengangkat martabat negara.
“Walaupun mereka membakar diri bagaikan lilin, cahaya itu sebenarnya menerangi orang lain. Saya sendiri pernah berada dalam dunia akademia suatu ketika dahulu dan saya masih merasai bahawa saya dipunyai oleh kelompok ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini baru-baru ini.
Zambry berkata, tema sambutan tahun ini iaitu Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan Tinggi memberi penekanan kepentingan ilmu sebagai tiang seri sesebuah tamadun dan cabaran baharu yang dihadapi dunia pendidikan.
Beliau turut mengimbau sejarah kegemilangan tamadun Islam di Baghdad, Iraq yang terkenal dengan Baitul Hikmah sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus membuktikan peranan ilmu dalam membangunkan sesebuah negara.
“Walaupun Iraq kini musnah akibat peperangan, setiap tempat yang dilawati masih ada haruman ilmu itu, sebagai contoh peninggalan para sarjana besar seperti Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan Imam Abu Hanifah.
“Inilah contoh yang saya hendak sebutkan bagaimana ilmu itu memainkan peranan penting dalam menerangi sesuatu tamadun dan juga sebagai sesebuah negara itu,” katanya.
Dalam konteks Malaysia, beliau menegaskan institusi pendidikan tinggi memainkan peranan besar dalam menggerakkan perubahan negara daripada ekonomi agraria kepada industri dan kini menuju era pascaindustri.
Katanya, golongan ilmuwan juga perlu sentiasa merendah diri dan terbuka dengan pandangan berbeza supaya dapat membina kekuatan bersama.
“Semakin banyak ilmu, seharusnya semakin tinggi sifat rendah diri. Jika tidak, seseorang akan menghadapi masalah mental yang merasakan dirinya sahaja betul dan terbaik,” katanya.
Zambry berkata, Hari Akademia kali ini turut memberi tumpuan kepada peranan dan cabaran AI dalam dunia pendidikan tinggi. –
Golongan akademia perlu sentiasa menjadi sumber inspirasi
SEREMBAN: Golongan akademia perlu sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada pelajar melalui semangat, dedikasi dan kecemerlangan yang ditonjolkan dalam bidang masing-masing.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad berkata, pelajar mudah dipengaruhi sikap dan cara penyampaian ilmu para pensyarah yang membentuk cara berfikir serta jati diri pelajar.
“Pensyarah bukan hanya mengajar tetapi menjadi contoh kepada pelajar. Kecemerlangan akademia menjadi dorongan kepada mereka untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya dalam Program
Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini baru-baru ini.
Beliau yang sudah lebih 10 tahun dalam bidang akademik, berkata, pengalaman tersebut banyak membentuk pandangannya terhadap peranan warga akademia dalam pembangunan pelajar dan masyarakat.
Nisar yang aktif menerbitkan buku serta menjalankan penyelidikan dalam bidang perniagaan dan hak asasi manusia berkata, penyelidikan akademik yang dijalankan bukan sekadar memenuhi tuntutan universiti tetapi merupakan asas kepada pembentukan dasar kerajaan yang lebih matang dan berimpak tinggi.
“Dana penyelidikan yang disalurkan kementerian penting untuk memastikan dapatan kajian dapat membantu kerajaan merangka polisi yang relevan dengan situasi sebenar di lapangan,” jelasnya.
Mengulas cabaran masa kini, beliau berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut memberi kesan terhadap tugasan pelajar terutama dalam aspek keaslian penulisan.
“AI boleh membantu tetapi pelajar perlu mengekalkan nilai integriti. Hasil kerja yang asli menunjukkan usaha sebenar mereka,” katanya.
Nisar turut berharap warga akademia terus menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan ilmu dan mengekalkan integriti serta akhlak dalam mendidik generasi muda.
“Ilmu dan akhlak perlu seiring. Pensyarah harus menjadi penyokong kuat kepada pelajar untuk membina masa depan yang berilmu dan beretika,” katanya. – UTUSAN