Teater Bahasa Melayu satukan murid SJKC

Teater Bahasa Melayu satukan murid SJKC

WONG Kah Woh (tengah) bersama Hazami Jahari bergambar bersama juara Anugerah Citra Cemerlang pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Peringkat Kebangsaan 2025 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menegaskan teater mampu menjadi wadah penghayatan bahasa kebangsaan menerusi Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Tuan Wong Kah Woh berkata, penguasaan murid dalam Bahasa Melayu dan keberanian tampil di pentas melalui teater, amat membanggakan.

“Saya bangga melihat pe­nguasaan bahasa, sebutan yang tepat serta keberanian murid tampil di pentas menyampaikan mesej dalam Bahasa Melayu.

“Ini adalah pengalaman yang berharga dan dapat membina keyakinan diri mereka,” katanya pada Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Hazami Jahari dan Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Radzi Omar.

Pertandingan sama pernah dianjurkan sebanyak tujuh kali sebelum terhenti akibat pandemik Covid-19, namun kembali dengan edisi baharu lebih meriah hasil sokongan Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, JKKN serta pelbagai persatuan kebudayaan.

Sebanyak 29 SJKC seluruh negara menyertai edisi kali ini dengan melibatkan 288 murid, namun hanya 16 sekolah berjaya ke pentas akhir.

SJKC Kuen Cheng 2 muncul juara dengan meraih Anugerah Citra Cemerlang.

Guru Besar, Nancy Phok berkata, kejayaan itu membukti­kan semangat murid dan guru mengangkat martabat bahasa kebangsaan walaupun datang daripada aliran vernakular.

Mereka mempersembahkan kisah kanak-kanak penghidap Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) yang disisihkan keluarga, se­kali gus menyampaikan mesej kepedulian masyarakat terhadap golongan istimewa.

Sementara itu sambutan menggalakkan mendorong pe­nganjuran program diperluaskan mengikut zon iaitu selatan, tengah, utara dan timur.

Mohd. Radzi berkata, berkata, buat masa ini, penyertaan dari Sabah dan Sarawak masih belum ada, mungkin disebabkan kekangan jarak dan kos.

Namun perancangan rapi dan peruntukan sesuai, penyertaan negeri itu pasti dapat direali­sasikan pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN