KUALA KRAI: Peluang bertemu keluarga selama satu jam sempena Hari Raya Aidilfitri menjadi detik paling bermakna buat seorang orang diselia (ODS) apabila kerinduan yang terpendam sejak dua tahun lalu, akhirnya terubat.
ODS yang hanya mahu dikenali sebagai Sepu, 46, berkata, pertemuan singkat itu cukup untuk mengubati rindu terhadap dua daripada empat anaknya serta ibu tersayang.
“Walaupun hanya sejam, ia sangat bermakna. Saya bersyukur dapat berjumpa anak-anak dan ibu. Inilah saat yang saya tunggu-tunggu,” katanya ketika ditemui di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) di sini, semalam.
Sepu yang menjalani hukuman sejak Mac 2024 di bawah Seksyen 506 (ugutan jenayah) dan Seksyen 448 (ceroboh rumah) Kanun Keseksaan berkata, dia reda dengan ujian hidup yang dilalui selepas terlibat pertengkaran dengan bekas isteri.
Katanya, tempoh berada dalam tahanan dimanfaatkan untuk memperbaiki diri termasuk mendalami ilmu agama serta mengikuti program pemulihan yang disediakan.
“Saya anggap ini ujian. Insya-Allah, apabila bebas nanti saya mahu mulakan hidup baharu dan kembali bekerja,” katanya.
Sepu yang dijangka dibebaskan pada Julai 2027 berkata, bekas majikannya masih mengambil berat dengan memberi wang saku bulanan untuk membantu keperluan harian sepanjang menjalani hukuman.
Sementara itu, Ketua PRP Kuala Krai, Penguasa Penjara Jaini Ayong Rajawa berkata, lebih 100 ahli keluarga hadir dalam program pertemuan Aidilfitri yang berlangsung dua hari bermula semalam.
Katanya, setiap ODS diberi peluang meluangkan masa selama satu jam bersama keluarga dalam suasana lebih terbuka bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Seramai 480 ODS di PRP ini turut mengikuti pelbagai program pemulihan dan latihan kemahiran sebagai persediaan kembali ke masyarakat,” katanya. – UTUSAN










