MARANG: Aktiviti tradisional menarik pukat ikan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi penduduk Pantai Rhu Muda, Rusila, di sini.
Suasana meriah terpancar apabila pengunjung mula memenuhi kawasan pantai seawal pagi bagi melihat sendiri kaedah menangkap ikan secara tradisional yang kini semakin jarang disaksikan.
Seorang pengunjung, Roslaini Abdul Wahab, 43, berkata, dia bersama suaminya, Mohamad Yusof, 56, mengakui teruja kerana berpeluang melihat sendiri kaedah tradisional tersebut.
“Kaedah tradisional tarik pukat ikan ini hanya boleh dilihat pada zaman dahulu, sekarang agak sukar untuk disaksikan secara depan mata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, Rosli Rahmat, 40, yang datang dari Putrajaya bersama lima anaknya berkata, seawal pukul 7 pagi mereka sudah berada di pantai bagi menyaksikan aktiviti berkenaan.
Menurutnya, dia kagum dengan semangat kerjasama masyarakat setempat yang bergotong-royong untuk menghidupkan kembali warisan aktiviti itu.
“Saya bertuah kerana dapat pulang ke kampung sebelah isteri di Kuala Terengganu dan menyaksikan sendiri kehidupan masyarakat yang dekat dengan alam dan pantai,” katanya.
Sementara itu, Hana Hamdan, 26, dari Bangi, Selangor berkata, dia pulang ke kampung bapanya di Pulau Kerengga dan tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut bersama tujuh ahli keluarganya.
“Saya dapat tahu mengenai program ini melalui kumpulan WhatsApp komuniti dan kami tiba di pantai sekitar pukul 7.30 pagi.
“Ini pengalaman pertama saya dan adik-beradik melihat orang menjala dan menarik pukat ikan secara tradisional,” katanya.
Sementara itu, penganjur program, Amar Jaafar berkata, penganjuran kali kedua itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri selain memanfaatkan musim ikan yang banyak ketika ini.
Katanya, dianggarkan kira-kira 300 pengunjung hadir menyaksikan 20 nelayan menarik pukat ikan bermula pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi.
“Kira-kira 40 kilogram ikan diperoleh antaranya tamban dan pelata. Turut diadakan pertandingan menebar jala bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai teknik tradisional menangkap ikan,” katanya.-UTUSAN.










